Isu SemasaTempatan

Program Felo Perdana Cungkil Bakat Kepimpinan Belia

Program Felo Perdana merupakan sebuah platform yang memberi peluang dan pengalaman eksklusif kepada belia Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam urus tadbir kerajaan.

Kini memasuki tahun yang keenam, program ini juga memberi ruang kepada golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka dan menyumbang dalam proses pembangunan negara.

Setiap Felo akan menjadi pelatih/pembantu eksekutif kepada Menteri Kabinet yang akan memainkan peranan sebagai mentor mereka.

Felo akan bekerja bersama mentor mereka sendiri serta pasukannya dalam merancang dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Program Felo Perdana terbuka kepada semua pelajar yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi, ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu Felo Perdana Siswazah dan Felo Perdana Graduan.

Difahamkan, calon yang terdiri dari kalangan pelajar akan berkhidmat di bawah program ini selama sekurang-kurangnya 6 minggu, manakala yang sudah tamat pengajian pula sekurang-kurangnya selama 3 bulan.

Berikut adalah syarat-syarat untuk menjadi Felo:

Felo Perdana Siswa

  • Calon perlu merupakan Warganegara Malaysia
  • Calon sedang mengikuti pengajian di mana-mana institut pengajian tinggi, dalam dan luar negara
  • Calon perlu mempunyai keputusan akademik yang memuaskan.
  • Calon perlu berumur 30 dan ke bawah
  • Calon perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik
  • Calon perlu menunjukkan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum
  • Calon perlu mempamerkan tokoh kepimpinan yang berpotensi tinggi

Felo Perdana Graduan

  • Calon perlu merupakan Warganegara Malaysia
  • Calon perlu merupakan graduan baru daripada institut pengajian tinggi, dalam dan luar negara
  • Calon perlu mempunyai rekod akademik yang memuaskan
  • Calon perlu berumur 30 dan ke bawah
  • Calon perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik
  • Calon perlu menunjukkan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum atau program kemasyarakatan
  • Calon perlu mempamerkan tokoh kepimpinan yang berpotensi tinggi

Selepas 6 tahun program ini dilaksanakan, ia ternyata telah mengubah perspektif anak-anak muda yang terlibat mengenai pentadbiran negara, prosedur penggubalan dasar dan proses kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan.

Memetik laporan The Star, antara individu yang pernah dipilih menjadi Felo adalah Nurul Azwa Rodzi, yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana.

Beliau menjadi pembantu eksekutif untuk Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin bagi sesi Felo Perdana 2016.

“Saya tahu ini adalah satu program yang bagus untuk belia Malaysia kerana kita boleh berkhidmat secara langsung di bawah menteri dan menjadi sebahagian daripada proses perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan,” kata graduan undang-undang dari University of Adelaide itu.

Nurul Azwa berkata, keinginan untuk berkhidmat kepada negara merupakan pendorong utamanya menyertai program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berusia 26 tahun tersebut menyatakan bahawa golongan Felo turut berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam menghasilkan kertas kerja Program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Mereka yang terlibat dalam menghasilkan kertas kerja untuk TN50 amat bangga kerana kami dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung,” ujarnya.

Jadi bagi mana-mana individu yang berminat untuk menjadi Felo bagi sesi 2018, sila layari portal rasmi www.feloperdana.gov.my untuk maklumat selanjutnya.

Permohonan telah dibuka mulai 21 Februari dan akan ditutup pada 13 April 2018 ini.

Calon yang disenarai pendekkan akan dihubungi untuk temuduga menerusi telefon pada 20 April.

Kemudian, keputusan temuduga akan dimaklumkan pada 14 Mei dan orientasi rasmi akan bermula pada penghujung bulan Jun.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker