AntarabangsaIsu Semasa

Jurulatih Bola Sepak Wanita Pertama Dalam Liga Arab

Di Sudan, penubuhan pasukan bola sepak wanita mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Atas sebab minat yang mendalam dengan sukan ini, Salma al-Majidi memilih untuk menjadi seorang jurulatih kepada pasukan bola sepak lelaki.

Majidi, 27, telah diiktiraf oleh FIFA sebagai wanita arab dan juga wanita Sudan pertama menjadi jurulatih wanita dalam liga arab. Pengiktirafan ini menjadikannya pelopor dalam sukan yang mendominasi rantau tersebut.

“Kenapa bola sepak? Kerana ia adalah cinta pertama dan akhir saya,” kata Majidi kepada AFP.

“Saya menjadi seorang jurulatih kerana tiada skop untuk wanita dalam bola sepak di Sudan,” kata Majidi yang lebih mesra dipanggil ‘sister coach’ (kakak jurulatih) oleh pemain.

Anak kepada seorang bekas anggota polis ini jatuh cinta dengan sukan tersebut ketika berumur 16 tahun.

Ketika itu Majidi melihat pasukan bola sepak di sekolah adik lelakinya dan kagum dengan arahan jurulatih serta gerak gerinya ketika memberi arahan.

“Pada penghujung sesi latihan, saya berbincang dengannya tentang teknik yang digunakan untuk melatih pemain”

Tambahnya lagi, apabila jurulatih itu melihat bakatnya, Majidi diberi peluang untuk bekerja bersama.

Gambar oleh AFP

Tidak lama kemudian Majidi diberi peluang untuk melatih pasukan Bawah-13 dan Bawah-16 kelab Al-Hilal di Omdurman.

Walaupun kebolehannya untuk melatih sekumpulan lelaki pernah dipersoalkan, pemain-pemainnya mula yakin dengan tunjuk ajar Majidi selepas beberapa masa.

Dinamakan dalam senarai BBC “100 wanita berpengaruh”, Majidi telah melatih kelab bola sepak al-Nasr, al-Nahda, Nile Halda dan al-Mourada.

Bahkan di bawah bimbingan Majidi, kelab Nile Halfa dan al-Nahda berjaya mengalahkan liga tempatan lain.

Pada masa ini, beliau memegang lencana Afrika “B” dalam dunia jurulatih. Ini bermaksud beliau dapat melaih mana-mana pasukan liga pertama di dalam rantau itu.

Wanita lain yang mendapat pengiktirafan dalam dunia bola sepak Sudan adalah Mounira Ramadan, iaitu seorang pengadil dalam perlawanan antara pasukan lelaki pada zaman 70-an.

Gamabr oleh AFP

Sejak undang-undang syariah dilaksanakan pada 1983, masyarakat menjadi lebih konservatif. Wanita dibenarkan bermain sukan tetapi tiada kelab diwujudkan untuk wanita dan mereka tidak dapat bermain di tempat awam.

“Sudan merupakan komuniti berpuak dan sesetengah puak percaya peranan seorang wanita dihadkan kepada rumahnya sahaja,” kata Majidi.

Memetik pengalamannya, Majidi menceritakan tentang seorang pemain lelaki yang berasal dari puak yang memegang kepercayaan bahawa lelaki tidak sepatutnya mengambil arahan daripada seorang wanita.

Ia mengambil masa beberapa bulan sebelum pemain tersebut menyesuaikan diri dan menerima Majidi sebagai seorang jurulatih.

Majidi berkata kerjanya sebagai seorang jurulatih dalam dunia bola sepak hanya permulaan dan perjalanannya lebih jauh.

“Mesej saya kepada lelaki secara umum adalah untuk memberi wanita peluang untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu,” jelas Majidi.

Show More

Related Articles

Back to top button
Close