Bermula 1 April ini, pelancong ke tarikan paling popular di India, Taj Mahal hanya dibenarkan berada di sana untuk 3 jam.
Menurut laman sesawang Daily Mail, had masa tersebut dilaksanakan untuk membantu kakitangan menguruskan kehadiran terlalu ramai pelancong pada satu-satu masa.
Hal ini berikutan, kadangkala sehingga 50 000 orang pelancong melawat Taj Mahal dalam masa sehari. Tambahan pula, ruang di dalam monumen tersebut adalah terhad, tiada apa yang mereka boleh buat untuk meluaskannya. Jelas seorang pegawai kepada akhbar Times of India.
“Terdapat segelintir pengunjung yang datang pada pagi hari serta enggan beredar sehingga waktu tutup. Hal ini menambahkan lagi tekanan pada kakitangan yang bertugas.
“Kadang-kadang sukar bagi kami untuk menguruskan terlalu ramai pengunjung.” Tambahnya lagi.
Menurut jumlah yang dicatat pihak kerajaan, pada tahun 2016 hampir 6.5 juta orang melawat monumen indah itu.
Taj Mahal telah dibina oleh maharaja Mughal, yang bernama Shah Jahan. Ia telah dibina sebagai makam serta untuk menzahirkan tanda cintanya bagi isterinya Mumtaz Mahal yang telah meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka pada tahun 1631.
Bahagian makam utamanya menempatkan makam pasangan tersebut yang dibuat daripada marmar yang bertatahkan batu permata.
Namun begitu, makam daripada abad ke-17 itu sebenarnya tidak mempunyai jasad pasangan diraja tersebut, hal ini kerana mereka sebenarnya dikebumikan di ruang bawah yang terpisah daripada bahagian atas makam tersebut.
ANTARA YANG PERNAH MELAWAT TAJ MAHAL
Monumen Taj Mahal telah menarik perhatian ramai pemimpin dan kerabat di raja dunia termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat terdahulu, Bill Clinton.
Pada tahun 1992, Diana, mendiang puteri Britain, pernah mengambil gambar berseorangan di sebuah kerusi marmar yang terletak di sana.
Makam tersebut sedang bergelut dengan pelbagai ancaman. Antaranya termasuklah kesan kuning akibat perlepasan asap.
Pada tahun 2016 pula, kotoran hijau didapati di dinding belakang makam tersebut. Ia dipercayai disebabkan najis serangga.
Sebelum ini, pihak berkuasa pernah meliputi bahagian depan monumen ikonik tersebut dengan ‘pek lumpur’ yang diperbuat daripada Fuller’s earth. Ia bertujuan untuk menarik keluar kotoran, serta memulihkan rona putihnya.