Bisnes & EkonomiTeknologi

Apakah Teknologi Inovatif 2018 Yang Bakal Dilaburkan Oleh Ceo Seluruh Dunia?

YPO, organisasi kepimpinan ketua eksekutif terulung dunia hari ini mengumumkan hasil Tinjauan Global Pulse YPO Mac 2018 yang menunjukkan bahawa ketua eksekutif seluruh dunia memfokuskan pada teknologi perniagaan teras, seperti pengkomputeran awan, kecerdasan perniagaan (BI) dan keselamatan siber, manakala penerimaan dan pelaburan teknologi seperti rantaian blok, kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto berkemungkinan didorong oleh sektor.

Teknologi Inovatif Yang Mendapat Perhatian CEO dan Mungkin Dilaburkan di Seluruh Dunia:

  • Pengkomputeran awan ialah perkara paling utama bagi ketua eksekutif global – lebih daripada dua pertiga (68%) ketua eksekutif melaporkan bahawa pengkomputeran awan berkemungkinan mempengaruhi syarikat mereka dalam 12 bulan seterusnya dan 62% menyatakan bahawa mereka mungkin akan melabur dalam teknologi berdasarkan awan.
  • Kecerdasan perniagaan (BI) mendapat perhatian CEO – 65% ketua eksekutif yang ditinjau menjangkakan BI akan mempengaruhi organisasi mereka dan lebih daripada separuh (56%) mungkin akan melabur dalam kecerdasan perniagaan dalam masa 12 bulan akan datang.
  • Keselamatan siber diutamakan oleh ketua eksekutif – memandangkan skala dan keparahan pembocoran data pengguna berprofil tinggi baru-baru ini, 53% ketua eksekutif menjangkakan keselamatan siber akan mempengaruhi perniagaan mereka dan 47% menyatakan bahawa mereka mungkin akan melabur dalam teknologi keselamatan siber dalam tahun seterusnya.
“Saya dengar daripada tokoh perniagaan dunia YPO sekarang bahawa transformasi digital kekal sebagai keutamaan tertinggi mereka pada tahun 2018. Beberapa teknologi inovatif dijangkakan akan menarik perhatian dan pelaburan dengan meluas pada tahun ini, seperti pengkomputeran awan, keselamatan siber, kecerdasan perniagaan dan aplikasi pembayaran mudah alih” kata Scott Mordell, CEO YPO.

“Ahli YPO sedang menerima teknologi untuk mematuhi keperluan peraturan, mengumpul data perniagaan untuk meningkatkan keberkesanan dan prestasi kewangan serta untuk memenuhi permintaan pengguna yang mahukan cara baharu dan inovatif untuk berinteraksi dengan perniagaan mereka.”

Walaupun Dijangkakan Berpengaruh, CEO Kurang Berminat untuk Melabur dalam Teknologi Berikut pada Tahun Seterusnya:

  • Walaupun Realiti Maya (VR)/Realiti Terimbuh (AR) diakui ramai sebagai teknologi yang berkemungkinan mempengaruhi banyak industri, kebanyakan CEO yang ditinjau belum lagi melabur secara aktif dalam teknologi tersebut. Namun begitu, dalam sektor seni bina dan kejuruteraan, 83% tokoh perniagaan menjangkakan VR akan mempengaruhi perniagaan mereka dan 64% bercadang untuk melabur dalam VR dalam 12 bulan seterusnya berbanding hanya 23% daripada kesemua ketua eksekutif ditinjau yang berminat untuk melabur dalam teknologi tersebut sekarang.
  • Demikian juga, kecerdasan buatan (AI) dijangka akan mempengaruhi perniagaan, tetapi CEO kurang berminat untuk melabur dalam AI pada tahun ini tidak seperti pengkomputeran awan, kecerdasan perniagaan, keselamatan siber dan aplikasi pembayaran digital/mudah alih yang lebih mendapat perhatian pada masa terdekat dan lebih utama dilaburkan dalam 12 bulan seterusnya.
  • CEO paling kurang biasa dengan teknologi chatbot, diikuti rantaian blok dan mata wang kripto daripada 10 teknologi inovatif dalam tinjauan. Hasilnya, mereka cenderung untuk tidak mengambil kira impak teknologi baharu ini terhadap perniagaan mereka dan kurang berminat untuk melabur dalam teknologi tersebut tahun ini.

Pelaburan Teknologi Inovatif yang Didorong oleh Sektor Industri Khusus

Tahap pengenalan dan minat dalam banyak teknologi inovatif bergantung pada industri. Contohnya, walaupun terdapat banyak liputan media dan perbincangan tentang rantaian blok dan mata wang kripto, kebanyakan CEO tidak menganggap kedua-dua teknologi itu berkemungkinan mempengaruhi perniagaan mereka, maka mereka kurang berminat untuk melabur dalam teknologi tersebut. Namun begitu, rantaian blok telah memperoleh perhatian dan pelaburan CEO dalam sektor perkhidmatan kewangan.

  • Lebih daripada separuh (58%) ketua eksekutif dalam perkhidmatan kewangan menjangkakan teknologi rantaian blok akan mempengaruhi organisasi mereka dalam masa 12 bulan akan datang dan sebanyak 40% menjangka akan melabur dalam rantaian blok.
  • Internet untuk Segala-galanya (IoT) dianggap sebagai bidang teknologi penting oleh tokoh perniagaan dalam sektor telekom, seni bina, kejuruteraan dan teknologi. Lebih daripada tiga perempat (78%) ketua eksekutif dalam telekom menjangkakan IoT akan memberi kesan terhadap perniagaan mereka dan hampir kesemuanya (96%) mahu melabur dalam IoT dalam 12 bulan seterusnya.

“Dapatan Tinjauan Global Pulse YPO mendedahkan bahawa kesan perniagaan jangka pendek dan strategi pelaburan berkaitan dengan teknologi tertentu sangat bergantung pada industri khusus anda,” kata Scott Mordell, CEO YPO. “Tentu menarik untuk melihat fokus berubah menjelang tahun depan apabila teknologi inovatif seperti AI dan realiti maya memasuki arus perdana.” -BERNAMA

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button