AntarabangsaIsu Semasa

Turki Akan Terima Senjata Canggih Rusia Tahun Depan

Turki akan menerima sistem senjata pertahanan udara Rusia, S-400 setahun lebih awal daripada waktu yang ditetapkan.

Memetik laporan Reuters, rancangan asal Rusia menetapkan bahawa senjata itu akan dihantar ke Turki pada suku pertama tahun 2020, namun ia telah dipercepatkan kepada bulan Julai 2019 tahun depan.

Dalam sebuah perjumpaan pada Selasa, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatannya dari Rusia, Presiden Vladimir Putin, menyatakan bahawa kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mempercepatkan penghantaran senjata itu tanpa memberi sebarang maklumat lanjut.

Perjumpaan Putin dan Erdogan – Sumber: Anadolu Agency

S-400 merupakan sistem peluru berpandu jarak jauh anti pesawat milik Rusia yang paling canggih sekali.

Ia mempunyai kapasiti untuk membawa tiga jenis peluru berpandu yang mampu memusnahkan pelbagai bentuk sasaran, termasuk peluru berpandu balistik dan pelayaran.

Sistem berkenaan juga boleh mengesan dan menyerang sehingga 300 sasaran pada satu-satu masa dan mempunyai altitud sejauh 27 kilometer.

Difahamkan, kedua-dua negara itu telah menandatangani perjanjian senjata itu pada bulan Disember tahun lepas, dan ia dianggarkan bernilai kira-kira AS 2.5 bilion (RM 9.67 bilion).

Sehubungan dengan itu, perjanjian berkenaan telah mengeratkan lagi hubungan di antara Ankara dan Moscow, sekali gus membimbangkan kuasa Barat memandangkan sistem itu tidak boleh diintergrasikan dalam infrastruktur ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam perkembangan lain, perjumpaan pemimpin kedua-dua  negara itu juga menandakan permulaan kerja secara rasmi untuk membina stesen tenaga nuklear milik Turki yang pertama bernilai AS $20 bilion (RM 77.3 bilion).

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close