Teknologi

Permainan Video Bantu Anjing Tua Asah Minda

Seperti manusia, anjing tua juga mendapat manfaat daripada latihan minda. Kalau manusia melakukan permainan Sudoku, anjing tua dapat mengasah minda mereka menerusi permainan video.

Satu eksperimen yang digunakan dalam sebuah kajian daripada University of Veterinary Medicine di Vienna, melibatkan aktiviti yang memerlukan seekor anjing berlari ke skrin sentuh.

Skrin tersebut kemudian memaparkan satu corak berbentuk bulat dan satu lagi berbentuk segi empat. Setiap kali mereka menyentuh corak bulat menggunakan hidung, mereka akan diberi makanan sebagai ganjaran.

Gambar oleh AFP

Kajian yang melibatkan beratus-ratus anjing ini mendapati bahawa anjing tua mendapat lebih banyak manfaat daripada permainan seperti ini.

Salah satu penulis laporan itu, Lisa Wallis berkata pemilik anjing yang sudah berusia mungkin berasa haiwan tersebut lebih selesa dibiarkan berehat dan tidur sepanjang hari. Tetapi hakikatnya, ia bukanlah satu tindakan yang elok untuk mereka.

Gambar oleh AFP

Walaupun tuannya memberikan cukup senaman fizikal, ia tidak akan meningkatkan ketangkasan minda mereka, kata Professo Ludwig Huber, salah satu penulis laporan kajian.

“Minda perlu lebih banyak stimulus dan masalah untuk diselesaikan,” tambahnya.

Huber berkata penggunaan skrin sentuh dapat menawarkan pelbagai stimulus tanpa membosankan haiwan. Permainan itu juga boleh dijadikan lebih kompleks bagi merangsang minda mereka.

Antara permainan lain yang digunakan dalam kajian ini memerlukan seekor anjing untuk menyentuh corak yang sedang bergerak dan diajar untuk mengenal pasti gambar yang ‘baik’ dan ‘jahat’.

Menurut AFP, kumpulan pengkaji di universiti itu juga sedang dalam proses membina satu perisian yang dapat digunakan pada tablet atau alat peranti lain yang sesuai untuk anjing.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close