Teknologi

‘Man On The Curtain’ Lindungi Wanita Bujang Tokyo

Wanita bujang di Tokyo, Jepun tidak perlu lagi takut untuk hidup sendiri. Sebuah firma Jepun mewujudkan peranti menghasilkan imej pelbagai aksi bayang-bayang lelaki pada langsir bagi menemani wanita yang hidup sendirian.

Selain itu langsir itu juga bertindak sebagai ‘langkah keselamatan’ supaya mereka kelihatan tidak tinggal keseorangan.

Menurut Oddity Central, alat ciptaan syarikat pengurusan apartmen, Leo Palace 21, yang digelar Man On The Curtain (lelaki pada langsir) itu beroperasi dengan dikawal oleh telefon pintar.

Sekiranya anda tertanya-tanya apa yang membuatkan Man On The Curtain lebih baik daripada patung biasa, jawapannya adalah “gerakan penuh”. Peranti itu tidak hanya memaparkan bayangan statik seorang lelaki, tetapi ia bergerak dan kelihatan sangat realistik.

Apabila seseorang melihat tingkap dari luar, mereka melihat bayangan seorang lelaki dan tertipu memikirkan bahawa penghuni tidak tinggal sendirian. Ini seterusnya akan menghalang penjenayah daripada cuba menyerang wanita muda yang hidup sendiri.

Ia memaparkan imej lelaki membuat 12 aktiviti seharian termasuk mengangkat berat, memvakum rumah, berlatih seni pertahanan diri, membasuh baju dan melakukan yoga.

Setiap rutin bergerak selama 30 minit dan boleh digerakkan selama enam jam yang memberi perlindungan ketika penggunanya berehat di rumah.

Sebaik sahaja satu rutin berakhir, ia akan bergerak secara automatik untuk rutin seterusnya sehinggalah enam jam dan rakaman itu perlu diulang secara manual.

Leo Palace 21 mensasarkan penghuni di Tokyo kerana ramai golongan muda tinggal bersendirian kerana berpindah ke ibu negara itu untuk tujuan pendidikan atau bekerja dan majoriti orang Jepun tidak suka mempunyai rakan sebilik.

Tokyo mungkin merupakan salah satu bandar paling selamat di dunia, namun jenayah kadang-kadang berlaku dan wanita yang tinggal bersendirian adalah antara mangsa yang sering menjadi sasaran.

Man On The Curtain mungkin gagal untuk meyakinkan semua orang terutamanya jika digunakan di tingkat bawah bangunan semasa musim panas apabila tingkap dibuka. Ketiadaan sistem bunyi juga turut menjadi kekurangan, tetapi itu mungkin satu kesan yang akan ditambah kerana tiada yang mustahil di Jepun.

Menurut syarikat pengeluar, lima unit akan diberi secara percuma untuk ujian ‘kehidupan sebenar.’

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker