Gaya HidupKesihatan

Diet Khas Untuk Pesakit Kanser

Pengambilan makanan secara sihat dan mencukupi amat penting untuk pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

Hilang selera makan adalah perkara biasa apabila individu berasa kurang sihat. Makanan menjadi kurang menarik, bahkan semuanya rasanya hambar dan pahit. Walaupun begitu, pesakit kanser masih perlu makan untuk mengekalkan kekuatan mereka serta untuk sihat sepenuhnya.

Menurut akhbar New Straits Times, rawatan bagi kanser seperti kemoterapi atau radioterapi pula boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan, sebagai contoh hilang selera makan, rasa mual, sakit tekak dan mulut, sembelit dan keletihan yang teramat sangat.

Ubat-ubatan ini mungkin meninggalkan rasa yang pelik di dalam mulut, seterusnya membuatkan pesakit lebih tidak berselera untuk makan.

Penting untuk pesakit kanser mengekalkan diet yang konsisten untuk membekalkan tubuh dengan semua nutrien yang diperlukan, hal ini kerana rawatan yang diterima mereka mungkin akan mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun seterusnya melemahkan tubuh mereka.

“Makanan memberikan tenaga. Pesakit kanser terutamanya, memerlukan banyak tenaga untuk menentang penyakit ini,” jelas pakar diet, Nur Hayati Azmi dari Hospital KPJ Ampang Puteri

“Prinsip kami bagi diet untuk pesakit kanser adalah berkalori tinggi dan serta tinggi kandungan protein.”

Kanser dan ubat-ubatan yang digunakan untuk menentang kanser boleh mengubah cara tubuh menyerap nutrien. Diet berkalori tinggi boleh mengelakkan pesakit daripada kehilangan berat badan serta menjadi kurang sihat. Protein pula diperlukan untuk pertumbuhan dan pemulihan sel.

Diet berprotein tinggi

Protein juga merupakan nutrien utama dalam memastikan sistem imun berfungsi dengan baik.

Menurut Nur Hayati, “seorang pakar diet boleh mengira keperluan kalori harian pesakit berdasarkan berat badan mereka serta faktor-faktor lain. Berbanding individu biasa keperluan protein pesakit kanser adalah kira-kira antara 1.2 dan 1.5g bagi sekilogram berat badan mereka.

Bagi individu dengan kesihatan yang normal pula mereka memerlukan 0.8 g  protein untuk sekilogram berat badan.”

MENGELAKKAN CACHEXIA

Kehilangan berat badan yang keterlaluan dalam kalangan pesakit kanser dikenali sebagai cachexia. Ia disebabkan oleh kehilangan selera makan serta perubahan dalam proses metabolisma tubuh akibat penyakit ini. Cachexia boleh melemahkan individu secara fizikal malah boleh menyebabkan kematian.

Ilustrasi menunjukkan Cachexia

“Jika kita tidak makan, tubuh akan memproses sumber simpanan tenaga seperti glikogen atau lemak untuk berfungsi seperti biasa,” terang Nur Hayati.

“Jadi, jika seseorang tidak makan buat berhari-hari atau berbulan-bulan, individu tersebut boleh mengalami cachexia.”

Menurut Nur Hayati lagi, pesakit kanser di hospital akan ditetapkan untuk mengikut keperluan kalori khas. Sekiranya pesakit tidak dapat menghabiskan makanan mereka, pihak hospital akan melengkapkan keperluan nutrisi mereka dengan makanan tambahan seperti susu berprotein tinggi.

“Bagi pesakit kanser, makan sahaja boleh menjadi rumit disebabkan perubahan pada selera makan mereka dan hidangan. Jadi kami sering menasihatkan mereka untuk makan hidangan yang kecil namun secara kerap.

Kami juga akan menggalakkan mereka makan apa yang digemari, hal ini kerana ia lebih baik daripada mereka tidak makan langsung.

Bagi pesakit yang berada di rumah pula,  berat badan atau jisim otot mereka akan dipantau semasa sesi perbincangan dengan doktor. Jika ada apa-apa yang merisaukan, pakar diet akan dipanggil untuk membantu merangka rancangan makan yang bersesuaian dengan pesakit.

MENGELAKKAN JANGKITAN

Di samping memastikan pesakit kanser tidak berhenti makan, adalah amat penting untuk memastikan makanan itu selamat dimakan. Rawatan kanser boleh melemahkan sistem pertahanan (imun) pesakit, seterusnya menyebabkan mereka mudah terdedah kepada jangkitan bakteria.

“Antara bakteria yang berbahaya adalah salmonella, E. coli dan listeria,” jelas Nur Hayati. “Apabila sistem imun lemah, sukar untuk tubuh melawan jangkitan. Bakteria sahaja mungkin tidak boleh menyebabkan kematian, namun ia boleh menyebabkan cirit-birit, mengakibatkan dehidrasi serta lebih melemahkan tubuh”

Untuk mengurangkan risiko hal ini berlaku, pesakit kanser akan disarankan supaya mengamalkan diet neutropenik. Ia bukan tentang jenis makanan yang diambil, namun ia lebih bagaimana makanan tersebut disediakan.

Setiap makanan mesti dimasak sepenuhnya,  sumber tenusu dipasteur dan air dimasak sepenuhnya.

Hal ini bermaksud pesakit tidak boleh mengambil buah-buahan atau sayuran mentah seperti salad, atau daging dan ikan yang dijeruk. Mereka juga tidak boleh makan telur separuh masak, hanya telur yang dimasak sepenuhnya. Kacang mentah mesti dielakkan, begitu juga minuman probiotik. Mengambil makanan segera dianggap berisiko tinggi serta tidak digalakkan.

Namun begitu, barang-barang makanan yang dibuat secara besar-besaran serta secara komersial seperti jus buah, ais krim, biskut atau roti biasanya boleh diambil kerana proses pembuatannya yang menurut piawaian keselamatan makanan.

Walaupun begitu, jalan yang terbaik adalah untuk memakan makanan yang dimasak di rumah yang diperbuat daripada bahan mentah serta semula jadi. Dengan cara ini, pesakit boleh makan dengan yakin mengetahui bahawa makanan itu bersih serta disediakan dalam persekitaran yang selamat. Rempah-ratus, herba dan minyak  yang berperisa serta beraroma boleh ditambah untuk menambah selera pesakit.

Buah-buahan mentah berkulit tebal seperti pisang boleh dimakan pesakit kanser, asalkan ia dibasuh dan dikupas sepenuhnya. Nur Hayati menambah sebilangan kecil sayur-sayuran mentah mungkin boleh dimakan, dengan syarat ia dibasuh bersih-bersih dengan detergen sayuran.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker