AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Bakal Presiden Mexico Akan Menghadapi “Dugaan” Besar

Mexico akan melangsungkan pilihan raya pada 1 Julai ini, namun individu yang akan mengambil alih jawatan presiden bakal menghadapi dugaan berat untuk mentadbir negara itu.

Antara cabaran utama adalah ‘melayan karenah’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyelesaikan isu kes bunuh yang semakin meningkat, perang dadah, dan sistem ekonomi serta politik yang tercemar dengan gejala rasuah.

Siapakah yang layak dan sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk memikul tanggungjawab ini?

Berikut adalah 4 orang calon yang akan bertanding jawatan tertinggi Mexico:

 

1. LOPEZ OBRADOR, 64

Sumber: www.bipolitics.com

Andres Manuel Lopez Obrador, yang juga dikenali sebagai “AMLO”, merupakan salah seorang ahli politik veteran yang berkontroversi di Mexico.

Beliau pernah bertanding untuk jawatan presiden sebanyak 2 kali sebelum ini, namun hasratnya tidak kesampaian.

Pilihan raya kali ini menandakan kali ketiga AMLO menjadi calon, dan beliau berikar ini adalah cubaannya yang terakhir.

Walaupun bermulut lantang, bekas Datuk Bandar berusia 64 tahun itu dilihat berada di kedudukan yang selesa dalam tinjauan pendapat terkini kerana turut mempunyai personaliti yang ‘menghiburkan’.

 

2. RICARDO ANAYA, 39 

Sumber: www.mexiconewsnetwork.com

Ricardo Anaya merupakan satu-satunya calon belia yang akan merebut jawatan presiden.

Mewakili National Action Parti (PAN), calon berusia 39 tahun itu berikrar untuk menangani segala masalah negara dengan menggunakan inovasi dan idea.

Dikenali dengan kebijaksanaannya, Anaya telah mula berkecimpung dalam dunia politik seawal usia 17 tahun, apabila beliau secara sukarela menawarkan diri untuk bekerja bersama parti itu.

“Anaya sangat muda, tegas, dan menyedari bahawa beliau mahu melakukannya (bekerja) daripada hanya berseronok,” kata Senator Marcela Torres.

Pada usia 21 tahun, pemuda itu sudah mula bertanding untuk menjadi anggota dewan perundangan negeri, dilantik menjadi anggota kongres pada usia 33 tahun, dan menjadi speaker dewan rakyat setahun kemudian.

Prestasi cemerlang, personaliti diri yang baik, serta sikapnya yang berpandangan jauh, telah menyebabkan orang ramai menggelarnya “The Boy Wonder.

 

3. JOSE ANTONIO MEADE, 49

Sumber: www.anahuac.mx

Jose Antonio Meade dikenali sebagai seorang teknokrat yang disegani dan dihormati ramai.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik dan telah memegang pelbagai jawatan menteri di bawah kerajaan pimpinan parti PAN dan Institutional Revolutionary Party (PRI).

Kini, Meade adalah Menteri Kewangan Mexico. Lebih menarik lagi, ramai rakyat Mexico yang tidak bercadang untuk mengundinya menyatakan bahawa beliau adalah individu yang paling layak untuk mengambil alih kedudukan presiden.

Walaupun mempunyai kebijaksanaan yang disifatkan sebagai “luar biasa,” ahli politik itu dikatakan tidak mempunyai karisma yang cukup untuk mendekati pengundinya.

 

4. MARGARITA ZAVALA, 50

Sumber: www.elheraldoslp.com.mx

Bekas wanita pertama Mexico ini merupakan calon presiden yang pertama untuk bertanding sebagai calon bebas dalam sejarah baru negara itu.

Difahamkan, Zavala sebelum ini berada di bawah PAN pimpinan Ricardo Anaya, namun beliau telah keluar daripada parti kerana mendakwa Anaya tidak membenarkan anggota-anggota parti untuk memilih calon presiden pilihan mereka secara telus.

Walau bagaimanapun, ramai pihak berpandangan bahawa isteri kepada bekas presiden, Felipe Calderon itu  mempunyai peluang yang tipis untuk menang.

Namun, Zavala juga dikatakan mempunyai potensi untuk ‘mencuri’ undi dan sokongan daripada Anaya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker