Isu SemasaTempatan

Putrajaya Bandar Raya Tanpa Tunai Mulai April 2019

Perbadanan Putrajaya (PPj) berhasrat menjadikan pusat pentadbiran negara itu sebagai bandar raya tanpa tunai mulai April tahun hadapan.

Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata ia akan dilaksanakan menerusi inisiatif seperti pelaksanaan aplikasi Mudah Alih Putrajaya dan Bandar Transaksi Tanpa Tunai Putrajaya.

Beliau berkata peniaga dan pemilik perniagaan yang ingin memperbaharui lesen mereka dikehendaki mendaftar dengan Primekeeper Digital Wallet, aplikasi mudah alih di bawah inisiatif Bandar Transaksi Tanpa Tunai Putrajaya.

Menurut laporan NST, aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“PrimeKeeper Digital Wallet adalah platform pembayaran yang membawa pengalaman pembayaran QuickResponse mudah alih kepada pengguna. Ia bertujuan untuk mempromosikan penggunaan gaya digital tanpa tunai di Putrajaya.

“Setakat ini, 110 premis perniagaan telah mendaftar di bawah program ini. Kami menjangka 1,500 premis perniagaan di Putrajaya melaksanakan inisiatif tanpa tunai menjelang April tahun depan,” katanya.

Pengguna hanya perlu memasukkan jumlah pembayaran berdasarkan maklumat dari premis perniagaan dan kedai, dan mengimbas Kod QR.

“Pembayaran akan dikreditkan ke akaun bank pedagang dan pemilik perniagaan pada hari berikutnya. Kami percaya bahawa sistem itu boleh dinaik taraf kepada urusniaga masa nyata pada masa hadapan.

“Projek itu, di bawah program Smart Putrajaya, akan memberi manfaat kepada pelanggan dan peniaga kerana mereka tidak lagi perlu membawa sejumlah wang tunai yang besar,” katanya.

Aplikasi Mudah Alih Putrajaya pula mempunyai pelbagai fungsi yang membantu pelawat menjelajah Putrajaya dan membenarkan penduduk dan pelawat mengakses maklumat terkini mengenai Bandar itu.

Aplikasi terbabit menyediakan maklumat yang boleh dipercayai mengenai lokasi tarikan pelancong, kemudahan awam termasuk kemudahan mesra OKU, tempat letak kereta dan acara di Putrajaya.

Aplikasi ini juga berfungsi sebagai bilik pameran bagi perniagaan kerana peniaga boleh menggunakannya untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan, termasuk tiket dalam talian apabila terdapat acara di Putrajaya.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan fungsi butang panik yang membolehkan pengguna menghubungi polis dan PPj. Apabila pengguna menekan butang panik, ia akan menghantar isyarat kepada polis dan bilik kawalan PPj.

PPj dan SKMM memberikan baucar digital RM20 kepada pengguna yang memuat turun aplikasi dan membuat akaun, sebagai insentif untuk mula membuat pembayaran tanpa tunai.

Baucar digital boleh ditebus di mana-mana perniagaan atau kedai yang menyertai. Food Court Presint 9 adalah kedai makanan pertama yang menawarkan transaksi tanpa tunai di semua kiosnya.

Aplikasi Mudah Alih Putrajaya (Putrajaya Mobile) dan Primekeeper Digital Wallet boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button