Bisnes & Ekonomi

Pasaran Akan Terus Meningkat, Tetapi Turun Naik Lebih Kerap, Kata Pacific Mutual

Pacific Mutual Fund Bhd, sebuah syarikat pengurusan pelaburan di bawah OCBC Group, dengan sumber dalaman untuk mengurus kedua-dua pelaburan tempatan dan global untuk para pelanggannya, telah mengulas bahawa Pacific Mutual menjangka volatiliti pasaran yang lebih tinggi untuk tempoh akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pacific Mutual, Teh Chi-cheun, mengulas pandangan syarikatnya terhadap pasaran untuk suku kedua tahun 2018, “Kedua-dua data ekonomi global dan tempatan terus mengukuh. Dengan itu, prestasi pasaran juga baik untuk suku pertama tahun 2018.

Tetapi baru-baru ini, risiko yang berpunca dari dasar dan politik telah menyebabkan pasaran menjadi lebih tidak menentu. Kami menjangka pasaran saham akan terus berada pada tren meningkat tetapi turun naik pasaran akan lebih kerap.”

Teh terus mengulas bahawa, “Isu dasar dan politik yang mungkin menyebabkan pasaran menjadi tidak menentu termasuklah peningkatan ketegangan dagangan sungguhpun dalam jangkaan kami trade war sepenuhnya tidak akan berlaku; kesan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat; penurunan bantuan kewangan di zon Euro; perubahan dalam pentadbiran Amerika Syarikat; rundingan Brexit; dan risiko geo-politik di Timur Tengah, Rusia dan Korea Utara.

Di pasaran tempatan pula, pilihan raya umum yang akan berlaku di Malaysia mungkin akan menyebabkan aktiviti memperlahan kerana para pelabur dan perniagaan kesemuanya menunggu pembubaran Parlimen dan pelbagai kempen pilihan raya. Untuk bursa tempatan, ada peluang pelaburan dalam persekitaran sebegini. “

Pada kenyataan yang sama, Pacific Mutual mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM15.8 juta untuk pelabur tujuh buah dananya. Pacific Mutual mengisytiharkan agihan pendapatan tahunan sebanyak 5 sen seunit untuk Pacific Pearl Fund; 2.5 sen seunit untuk Pacific Dana Aman; 1.7 sen seunit untuk Pacific Dana Murni; dan 2.5 sen seunit untuk Pacific Focus China Fund.

Pacific Mutual juga mengumumkan agihan suku tahunan sebanyak 0.4 sen seunit untuk Pacific Cash Fund. Di samping itu, agihan bulanan juga diumumkan untuk Pacific Cash Deposit Fund pada 0.3 sen seunit dan Pacific OCBC Cash Fund 0.25 sen seunit untuk untuk bulan Mac 2018. -BERNAMA

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close