AntarabangsaIsu Semasa

Kerajaan Indonesia Akan Menutup Facebook?

Baru-baru ini, seorang anggota Kabinet kerajaan Indonesia telah mengancam untuk menutup Facebook di negara itu sekiranya data rakyat dituai atau jika syarikat itu gagal membendung ancaman berita palsu dalam pilihan raya yang akan datang.

Berikutan isu membabitkan data 50 juta pengguna Facebook yang diperolehi oleh sebuah syarikat yang membantu kempenĀ  Donald Trump, Indonesia turut meluahkan kebimbangan memandangkan pemilihan presiden mereka juga berpotensi untuk dipengaruhi oleh pihak yang tidak sepatutnya.

Menteri Komunikasi, Rudiantara menyatakan bahawa individu atau kumpulan tertentu boleh mengeksploitasi platform media sosial untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Jika saya perlu menutupnya (Facebook), saya akan melakukannya,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa kerajaan juga telah menyekat aplikasi Telegram sebelum ini.

“Saya telah melakukannya. Saya tidak akan teragak-agak untuk melakukannya sekali lagi,” tegasnya.

Memetik laporan Straits Times, amaran menteri itu juga ditujukan kepada platform-platform lain termasuk Twitter, Google dan Youtube.

Difahamkan, Twitter dan Google telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Indonesia bagi mengawasi kandungan di atas talian.

Daripada 260 juta populasi keseluruhan, lebih daripada 90 juta rakyat negara itu mempunyai akaun Facebook.

Rudiantara juga telah menghubungi syarikat gergasi media sosial berkenaan untuk memastikan tiada satu pun data rakyat Indonesia yang dituai oleh Cambridge Analytica.

Beliau berkata, mana-mana platform media sosial yang gagal mematuhi dekri perlindungan maklumat peribadi yang diwujudkan pada tahun 2016, bakal berhadapan hukuman yang berat.

Sekiranya Facebook didapati bersalah, kakitangannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun dan bayaran denda sehingga 12 bilion rupiah (RM 3.37 juta).

Dalam pada itu, presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali mesra sebagai Jokowi, juga pernah menjadi mangsa berita palsu, dan antara yang terbesar adalah fitnah yang menuduh beliau menjadi anggota komunis.

Terdapat juga fitnah lain yang mendakwa bahawa Jokowi telah berkonspirasi bersama presiden China, Xi Jinping untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya yang bakal berlangsung.

Jokowi juga merupakan seorang pengguna media sosial yang aktif, di mana beliau mempunyai hampir 10 juta pengikut di Twitter.

Oleh itu, menteri komunikasi amat bimbang dengan ancaman, di mana pihak yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan data pengguna yang diperolehi dari media sosial untuk menyasarkan pengundi.

Rudiantara juga mempunyai pesanan untuk Facebook dan syarikat-syarikat lain: “Jika anda tidak mampu menguruskan platform anda untuk menyokong kestabilan Indonesia, ia bermakna bahawa niat anda untuk berada di Indonesia bukan untuk perniagaan, tetapi tujuan lain.”

 

Show More

Related Articles

Back to top button