AntarabangsaIsu Semasa

Belia Korea Selatan Mahu Usia Minimum Mengundi Dikurangkan

Korea Selatan merupakan satu-satunya negara dalam kalangan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan EkonomiĀ (OECD) yang menetapkan umur minimum untuk mengundi dalam pilihan raya pada usia 19 tahun.

Walau bagaimanapun, golongan muda di negara itu mahukan had umur tersebut diturunkan lagi memandangkan mereka berminat untuk terlibat dalam kegiatan politik secara aktif.

Tahun lepas, sebuah kumpulan hak asasi belia tempatan telah melaksanakan kajian yang melibatkan 2,420 orang belia.

 

85% BELIA MAHU TERLIBAT DALAM HAL EHWAL POLITIK DAN SOSIAL

Keputusan mendapati bahawa hampir 50% daripada jumlah itu menyatakan bahawa mereka terlibat dalam perarakan untuk menggesa peletakan jawatan bekas Presiden, Park Geun-hye pada tahun 2016 susulan skandal rasuahnya yang berlaku.

Sehubungan dengan itu, hampir 85% sanggup melibatkan diri dengan lebih aktif dalam hal ehwal sosial dan politik sekiranya hak mereka untuk mengundi terjamin oleh Perlembagaan.

Dua minggu lalu, Kim Yoon-song, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bersama sekumpulan rakan telah melakukan protes di hadapan bangunan Parlimen Korea Selatan bagi membantah had umur minimum mengundi yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Mempunyai hak untuk mengundi adalah hak untuk bersuara. Ia juga bermakna mempunyai hak untuk hidup sebagai seorang manusia,” katanya.

 

REMAJA MENGALAMI PENINDASAN DI SEKOLAH

Memetik laporan The Korea Herald, Kim telah memperjuangkan isu ini sekurang-kurangnya selama setahun, dan beliau telah melarikan diri dari rumah dan juga tidak bersekolah kerana sering mengalami penindasan.

“Bagi saya, isu umur mengundi mempunyai kaitan secara langsung dengan isu keganasan yang saya sedang alami setiap hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, kajian yang sama juga mendapati bahawa 35.3% belia telah mengalami penderaan fizikal yang dilakukan oleh guru-guru di sekolah.

40% pula berkata, mereka telah didera secara lisan oleh guru sekurang-kurangnya sekali.

 

PROSES PINDAAN PERLEMBAGAAN AKAN MENGAMBIL MASA

 

Pada hari yang sama protes itu dilaksanakan, pejabat presiden telah mencadangkan agar umur mengundi dikurangkan daripada 19 ke 18 tahun.

Namun, pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan daripada 2/3 ahli parlimen dan sebuah referendum (pungutan suara) juga perlu diadakan selepas itu.

“Saya menghargai kesanggupan Presiden Moon Jae-in untuk mengurangkan umur mengundi,” kata seorang aktivis hak asasi belia.

Tetapi tambahnya, proses menyemak semula Perlembagaan adalah sesuatu perkara yang sukar dan mengambil masa yang panjang.

“Secara keseluruhannya, kami berpandangan umur mengundi patut dikurangkan kepada 16 tahun, bukan 18,” tegasnya.

 

PARTI PEMBANGKANG BIMBANG SEKOLAH MENJADI PLATFORM POLITIK

Setakat ini, masih tiada sebarang petanda jelas yang menunjukkan sama ada cadangan itu akan diluluskan atau tidak, memandangkan parti pembangkang utama, Liberty Korea Party dilihat menentangnya.

Parti itu bimbang jika sekolah dijadikan platform untuk berpolitik, dan menegaskan bahawa tanggungjawab pelajar remaja adalah untuk memberi tumpuan terhadap akademik.

 

TIDAK SEMUA REMAJA BERSEKOLAH

Tetapi difahamkan, tidak semua remaja berusia 18 tahun di Korea Selatan yang bersekolah.

Seperti yang tertakluk di bawah undang-undang negara, remaja pada usia itu sudah layak untuk berkahwin dan bekerja dengan kerajaan.

Menurut Roh Hoe-chan, pemimpin Parti Keadilan berhaluan kiri, ia adalah satu perkara yang “tidak masuk akal” jika remaja sudah boleh menjadi kakitangan kerajaan, tetapi masih tidak layak untuk mengundi.

“Kita terhutang budi dengan ramai remaja yang telah memperjuangkan demokrasi sepanjang sejarah moden ini.

“9 daripada 12 penunjuk perasaan yang mengorbankan nyawa mereka ketika pergerakan pro-demokrasi di Masan pada tahun 1960 adalah pelajar sekolah menengah,” jelasnya

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button