AntarabangsaIsu Semasa

Bekas Presiden Perancis Khianat Muammar Gaddafi?

Pada 20 Mac, bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy telah ditahan selama 48 jam atas dakwaan rasuah yang membabitkan beliau dan bekas pemimpin Libya, Kolonel Muammar Gaddafi.

Ini merupakan berita gembira buat anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam, yang menjadi individu pertama untuk mendakwa bahawa Sarkozy telah menerima wang/dana daripada kerajaan Libya pada tahun 2007 bagi tujuan kempen pilihan rayanya.

Memetik laporan Sputnik, kedua-dua bekas pemimpin Perancis dan Libya itu pernah menjalinkan hubungan yang rapat, namun Sarkozy kemudian telah mengkhianati Gaddafi.

Kerajaan Perancis di bawah pentadbiran Sarkozy memainkan peranan besar dalam menggulingkan kerajaan pimpinan Gaddafi, yang kemudian membawa kepada kematiannya.

Difahamkan, beliau telah ditangkap dan dibunuh oleh musuhnya selepas kereta berperisai yang dinaikinya ditembak menggunakan peluru berpandu Perancis.

Khabar angin mengenai bantuan yang diberikan oleh Gaddafi terhadap Sarkozy mula timbul pada tahun 2011.

Ketika NATO mengebom Libya, Saif membuat kenyataan secara umum menggesa Sarkozy untuk “memulangkan semula wang” yang telah diterima.

Setahun kemudian, Mediapart, majalah penyiasatan bebas atas talian menerbitkan dokumen/perjanjian yang tertulis dalam bahasa Arab, di mana ia dikatakan telah ditandatangani oleh ketua perisikan Gaddafi, Moussa Muhammad Koussa.

Perjanjian tersebut menunjukkan jumlah wang “derma” bernilai 50 juta euro kepada Sarkozy bagi melaksanakan kempen pilihan rayanya.

Sekiranya ini benar, ini bermakna beliau telah berbelanja melebihi had maksimum berkempen sebanyak 21 juta euro seperti yang tertakluk di bawah undang-undang Perancis pada waktu itu.

Bukan itu sahaja, malah ia juga adalah satu kesalahan di sisi undang-undang negara itu untuk menerima dana daripada pihak asing.

Tetapi, Sarkozy menolak segala tuduhan sekeras-kerasnya. Walau bagaimanapun, sebuah siasatan rasmi berhubung isu tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2013.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan Peranics-Lebanon, Ziad Takieddine, membuat pendedahan pada tahun 2016 bahawa beliau sendiri pernah mengirim wang bernilai 5 juta euro secara tunai daripada abang ipar Gaddafi bernama Abdullah al-Senussi kepada bekas ketua turus Sarkozy, Claude Gueant.

Bercakap kepada Mediapart, Ziad menjelaskan bahawa beliau telah membuat tiga perjalanan daripada Tripoli ke Paris di antara akhir tahun 2006 dan awal 2007.

Dalam setiap perjalanan, ahli perniagaan itu akan mengirim wang yang diletakkan di dalam beg bimbit bernilai 1.5 juta hingga 2 juta euro.

Namun begitu, ia masih tidak jelas mengenai jumlah keseluruhan wang yang terlibat, dan sistem perbankan Perancis juga gagal mengesan transaksi itu.

Susulan penangkapan Sarkozy, Saif dalam satu temubual bersama Africanews.com memaklumkan bahawa al-Senussia mempunyai rakaman perjumpaan Sarkozy-Gaddafi yang berlaku sebelum kempen pilihan raya 2007.

Penahanan bekas presiden itu juga disifatkan sebagai “balas dendam yang manis” bagi keluarga Gaddafi.

Dalam perkembangan lain, Saif dilaporkan akan bertanding dalam pilihan raya presiden Libya pada tahun ini, di mana pencalonannya telah diumumkan oleh Popular Front Party pada 19 Mac.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button