Gaya HidupKerjaya

10 Laluan Menjadi Guru Cemerlang

Menjadi seorang guru merupakan pekerjaan yang sangat mulia kerana anda bakal mendidik anak bangsa untuk menjadi seseorang pada masa akan datang.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Harry Tan Huat Hock berkata sebagai seorang guru, anda perlu mahir dalam melihat kelebihan dan kelemahan yang ada pada seseorang pelajar untuk mengetahui kadar kemampuan dan membantu di mana perlu.

Para guru perlu mengetahui sedikit sebanyak personaliti dan rekod akademik pelajar mereka serta membaca riak wajah untuk bertindak cepat sekiranya terdapat masalah dan sebagainya. Mereka juga perlu mempunyai matlamat dan langkah-langkah berkesan supaya pelajar mereka berjaya. Kemahiran-kemahiran sebegini perlu ada pada guru cemerlang.

Jika anda berminat menjadi seorang guru, terdapat 10 laluan untuk anda merealisasikan impian tersebut. Anda hanya perlu sekurang-kurangnya SPM dengan 4A ke atas untuk mencapai cita-cita anda.

1. Laluan SPM – IPGM (Institut Perguruan Malaysia) – SK (Sekolah Kebangsaan)
Ini antara laluan paling mudah bagi menjadi seorang guru. Pelajar lepasan SPM yang mendapat sekurang-kurangnya 4A boleh memohon kemasukan ke Institut Perguruan Malaysia (IPGM) atau lebih dikenali sebagai Maktab Perguruan suatu ketika dahulu.

Mereka ini akan dilatih selama 1 tahun persediaan dan 4 tahun tambahan bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Seterusnya akan berkhidmat sebagai guru di Sekolah Rendah. Malah bagi meningkatkan kualiti pendidikan guru, KPM juga menyediakan laluan khas terus temuduga kepada pelajar lepasan SPM yang mendapat semua A yang berminat untuk menjadi guru.

2. Laluan SPM – Matrikulasi – Universiti – SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan)
Bagi mereka yang berminat untuk menjadi guru di sekolah menengah, selepas mendapat keputusan yang baik untuk SPM, anda boleh memohon masuk ke Kolej Matrikulasi. Secara umumnya, keputusan SPM anda perlu lah kredit bagi semua subjek.

Semasa di Kolej Matrikulasi, dapatkan keputusan peperiksaan yang bagus untuk memohon universiti yang menawarkan program perguruan.


3. Laluan SPM – STPM – Universiti – SMK
Jika anda tidak mendapat tempat di Matrikulasi, jangan putus asa kerana anda boleh menyambung pengajian di sekolah menengah yang menawarkan STPM yang akan melayakkan anda untuk ke universiti yang menawarkan program perguruan.

4. Laluan Diploma – Universiti – SMK
Laluan ini pula adalah laluan bagi mereka yang menyambung pelajaran ke peringkat Diploma terlebih dahulu. Selepas SPM, mungkin dah hilang rasa nak belajar di sekolah, maka pergi lah sambung belajar Diploma di mana-mana IPTA yang menawarkan program tersebut.

Setelah memiliki Diploma, maka bolehlah memohon bagi sambung belajar untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda khusus dalam bidang perguruan di universiti yang menawarkannya. Tambahan 4 tahun lagi bagi menyiapkan pengajian di peringkat ini. Namun ada juga universiti yang membenarkan beberapa subjek Universiti dikecualikan, maka dapatlah siapkan ijazah ini dengan tempoh yang lebih pendek.

5. Laluan Ijazah – DPLI – SMK
Ini pula adalah laluan bagi mereka yang sudah mempunyai ijazah sarjana muda, tetapi dalam bukan bidang perguruan. Maka anda bolehlah memohon kursus DPLI, iaitu Diploma Perguruan Lepasan Ijazah.

DPLI di IPG sudah tidak lagi ditawarkan tetapi jika anda masih berminat, UniSZA menawarkan kursus pengajian jarak jauh (PJJ) dan kelas pada hujung minggu untuk anda. Permohonan boleh dilakukan di https://aplikasi.unisza.edu.my/pendidikan/

6. Laluan Ijazah – KPLI – SK
Beza kursus KPLI dengan DPLI ialah DPLI dilaksanakan di universiti, bukan di IPG seperti KPLI dan DPLI adalah bagi guru untuk sekolah menengah, manakala KPLI adalah bagi guru untuk sekolah rendah. Ia dilaksanakan di IPG, selama 1 tahun.

Namun begitu, program KPLI ini juga telah dimansuhkan kerana jumlah guru yang ada pada masa kini mencukupi untuk memenuhi kekosongan di semua sekolah tetapi pada tahun 2017, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata kemungkinan KPLI ini akan dilaksanakan semula dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya berdepan masalah kekurangan guru di sekolah.

7. Laluan Ijazah – JQAF – SK
Bagi mereka yang memiliki ijazah dalam bidang pengajian Islam, Bahasa Arab atau yang berkaitan dengannya, maka anda boleh cuba laluan ini. Mereka yang memohon dan ditawarkan program ini, diberi peluang untuk terus menjadi Guru j-QAF(singkatan kepada Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) di sekolah yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, pada waktu cuti sekolah, mereka harus mengikuti pengajian semasa cuti sekolah selama 2 tahun. Selesai saja program j-QAF ini, maka akan ada reposting semula. Ia bergantung kepada nasib dan kekosongan, tempat posting mungkin boleh jadi sekolah lama, atau pun sekolah baru.

Walau bagaimanapun, tiada lagi pengambilan baru untuk kursus j-QAF buat masa ini.

8. Laluan Ijazah – MRSM
Selain daripada itu, anda juga boleh cuba nasib untuk menjadi guru MRSM (Maktab Rendah Sains MARA), terutamanya jika anda pernah terlibat dengan kegiatan MARA. Sama ada bekas pelajar, bekas penerima biasiswa MARA atau apa-apa yang berkaitan dengan pendidikan MARA.

Namun ia bergantung kepada kekosongan subjek dan keperluan. Seperti guru lain juga, program perguruan bagi guru sebegini dijalankan semasa cuti sekolah dan keutamaan akan diberikan kepada bekas penerima biasiswa MARA.

9. Laluan Ijazah – Sekolah Swasta
Jika dah cuba memohon ke MRSM atau sekolah lain, tapi belum ada rezeki, maka anda boleh cuba memohon sebagai guru sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Keperluannya tentulah lebih bersifat memilih pada subjek, kelayakan bakal guru dan juga kelebihan tertentu.

Laluan ini merupakan satu laluan yang baik bagi mereka yang sentiasa inginkan cabaran dalam bekerjaya. Malah, gaji yang ditawarkan lebih tinggi. Tetapi mempunyai risiko kerana kemungkinan kontrak takkan disambung akan ada jika anda tidak menunjukkan prestasi yang membanggakan.

10. Laluan Ijazah – Teach for Malaysia – SMK/ SK
Teach For Malaysia merupakan sebuah NGO yang aktif dalam menyediakan guru-guru bagi subjek kritikal di sekolah-sekolah yang sangat memerlukan guru.

Mereka yang memohon bagi mengikuti program Teach For Malaysia ini akan disaring dan diberikan sekolah untuk posting. Semasa hujung minggu mereka perlu menghadiri kursus pemantapan perguruan bersama-sama rakan Teach For Malaysia yang lain. Kontrak adalah selama 2 tahun, seterusnya mereka boleh memilih untuk terus menjadi guru atau berhenti.

Program Teach For Malaysia ini juga direstui oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, malah semakin giat dipromosikan melalui laman sosial.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close