AntarabangsaIsu Semasa

Wanita Jepun Sertai #MeToo

Pendedahan mangsa serangan seksual oleh penerbit Harvey Weinstein tahun lalu telah membuka laluan kepada pergerakan #MeToo yang menggalakan kaum wanita menceritakan kisah peribadi serangan atau gangguan seksual yang pernah dialami.

Pergerakan ini mendapat sokongan bukan sahaja daripada wanita di Amerika Syarikat tetapi juga wanita di serata dunia.

Baru-baru ini seorang wartawan Jepun turut menceritakan pengalaman serangan seksual yang dialami dalam kariernya.

Wartawan Shiori Ito tidak mahu lagi menderita dalam senyap justeru mendedahkan perkara ini kepada umum.

Wanita 28 tahun itu mendakwa seorang wartawan televisyen, Noriyuki Yamaguchi, yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Shizo Abe, merogolnya selepas makan malam yang bertujuan untuk membincangkan peluang pekerjaan pada 2015.

Selepas pendedahan tersebut, Ito dikecam hebat oleh orang awam malah menerima ancaman bunuh.

Pelbagai ancaman

Ito memberitahu bahawa jururawat yang merawatnya di hospital menyoalnya seperti satu sesi ‘soal siasat’ dan lebih teruk, diminta seorang pegawai polis lelaki untuk ‘melakukan semula’ kejadian rogol itu menggunakan anak patung sebesar saiz lelaki sebenar.

“Saya terpaksa berbaring di lantai dan mereka meletakkan anak patung itu di atas saya dan mula mengerakkanya,” kata Ito kepada AFP.

“Mereka bertanya ‘adakah ia (berlaku) seperti ini?’ dan mengambil gambar. Ia (berasa) seperti rogol kedua.”

Pihak polis, telah mengambil masa beberapa minggu untuk membuka siasatan jenayah dan kemudian memberitahu Ito bahawa mereka akan menangkap Yamaguchi. Tetapi tidak melakukannya.

Sejak itu, Ito telah memfailkan saman sivil terhadap Yamaguchi, yang menafikan sebarang kesalahan.

“Saya menerima e-mel dan mesej yang memanggil saya seorang pelacur,” kata Ito.

“Terdapat juga beberapa ancaman, saya jadi takut atas kehidupan keluarga saya, saya takut, saya tidak boleh keluar.”

Serangan seksual di Jepun

Menurut tinjauan kerajaan Jepun pada tahun 2015, hanya empat peratus mangsa rogol tampil membuat laporan kepada polis.

Kementerian Keadilan menunjukkan hanya satu per tiga kes rogol dibawa ke mahkamah dan pada tahun lepas hanya 285 daripada 1,678 orang didakwa atas keasalahan jenayah seks (17 peratus) dikenakan hukuman penjara lebih daripada tiga tahun.

Dalam pada itu, Jepun mempunyai rekod terburuk di dunia dari segi perwakilan wanita dalam politik.

Wanita memegang hanya 10 peratus daripada kerusi di bawah parlimen, meletakkan Jepun pada kedudukan 158 di antara 193 negara – di bawah Syria dan Congo – pada tahun 2017, menurut data Inter-Parliamentary Union.

Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker