AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Belanda Tolak Cadangan Undang-Undang “Melampau” Kerajaan

Pada hujung tahun 2016, kerajaan Belanda telah membentangkan draf Akta Perisikan dan Agensi Keselamatan 2017 di parlimen negara itu.

Cadangan tersebut meraih sokongan majoriti ahli parlimen dan ia kemudian diluluskan oleh Senat pada 11 Julai 2017.

Sekiranya mendapat kelulusan akhir, undang-undang itu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Mei tahun ini.

Di bawah undang-undang tersebut, agensi perisikan akan mempunyai kuasa untuk memasang alat curi dengar yang meliputi seluruh rantau atau pusat komunikasi, menyimpan maklumat sehingga tiga tahun, dan mengongsikannya bersama agensi perisikan sekutu yang lain.

Walau bagaimanapun, akta berkontroversi itu telah mendapat tentangan hebat daripada orang ramai, sehinggakan sekumpulan pelajar daripada University of Amsterdam mengadakan referendum pada 21 Mac 2018, untuk melihat sama ada rakyat menyokongnya atau tidak.

Memetik laporan The Sun Daily, Belanda mempunyai 13 juta rakyat yang layak untuk mengundi, namun hanya kira-kira 6 juta sahaja (51.5%) yang telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Keputusan akhir menunjukkan bahawa 49.4% pengundi memilih ‘tidak’ sementara 46.5% lagi menyokong penubuhan undang-undang itu.

“Keputusan referendum tersebut menunjukkan rakyat menolak undang-undang maklumat dan perkhidmatan keselamatan.

“Ini bermakna kerajaan perlu mempertimbangkan semula undang-undang berkenaan,” kata pengerusi majlis perbandaran, Jan-Kees Wiebenga.

Dalam pada itu, para pelajar yang mencetuskan referendum tersebut berang dengan tindakan kerajaan yang dilihat sebagai “melampaui batas”.

Namun, para penyokong pula menyifatkan undang-undang tersebut sebagai langkah bagus untuk memantau kumpulan-kumpulan berbahaya seperti puak pelampau.

Difahamkan, ia adalah referendum yang tidak terikat dan Perdana Menteri, Mark Rutte, berikrar untuk memberi pertimbangan serius terhadap suara rakyat walaupun beliau sendiri menyokong akta berkontroversi berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa akta itu amat diperlukan dalam usaha membendung serangan pengganas dengan lebih berkesan.

“Bukan negara kita tidak selamat, tetapi undang-undang ini akan menjadikannya lebih selamat,” jelasnya.

Kumpulan hak asasi digital, Bits of Freedom pula menggesa kerajaan untuk mengkaji semula kebolehlaksanaan akta tersebut.

“Pengundi telah memberikan petanda yang jelas. Undang-undang ini tidak cukup baik dan memerlukan penambahbaikan asas,” kata pengarah Hans de Zwart.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button