AntarabangsaIsu Semasa

Pemohon Visa A.S Perlu Kemukakan Maklumat Media Sosial

Kerajaan pusat Amerika Syarikat mencadangkan untuk mengumpul maklumat akaun media sosial dari pemohon visa yang berhasrat untuk memasuki negara itu.

Jika diluluskan oleh Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB), cadangan itu akan memerlukan kebanyakan pemohon visa imigran dan bukan imigran untuk menyenaraikan semua identiti media sosial yang digunakan dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Menurut Jabatan Negara, maklumat akaun media sosial terbabit akan digunakan untuk proses penyaringan dan mengenal pasti pemohon yang dijangka akan menjejaskan kira-kira 14.7 juta orang setiap tahun.

Cadangan itu menyokong janji Presiden Donald Trump untuk mewujudkan “pemeriksaan ketat” kepada orang asing yang memasuki Amerika Syarikat bagi mencegah keganasan, lapor Reuters.

Sebelum ini, di bawah peraturan yang dimulakan Mei lalu, pegawai konsulat diarahkan untuk mengumpul maklumat media sosial pemohon visa hanya apabila diputuskan bahawa maklumat itu diperlukan untuk mengesahkan identiti atau menjalankan pemeriksaan keselamatan negara yang lebih ketat.

Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika menyatakan kebimbangan terhadap cadangan baru itu dan berpendapat bahawa langkah terbabit akan menyekat kebebasan bersuara.

“Orang ramai kini bimbang jika apa yang mereka katakan dalam talian akan disalah tafsir oleh pegawai kerajaan,” kata Hina Shamsi, pengarah Projek Keselamatan Kebangsaan ACLU, dalam satu kenyataan.

“Kami juga bimbang tentang bagaimana pentadbiran Trump mentakrifkan ‘aktiviti pengganas’ yang tidak jelas dan terlalu luas serta boleh digunakan untuk mendiskriminasi imigran yang tidak melakukan kesalahan.

“Terdapat risiko tinggi bahawa pemeriksaan media sosial ini hanya akan dikhususkan kepada imigran dan pelancong dari negara majoriti Muslim untuk tidak diberikan visa tanpa melakukan apa-apa langkah untuk melindungi keselamatan negara,” katanya.

Cadangan baru itu diterbitkan dalam Daftar Persekutuan pada hari Jumaat lalu. Orang ramai mempunyai 60 hari untuk memberi komen mengenai prosedur yang telah disemak sebelum OMB meluluskan atau menolaknya.

Sekiranya diluluskan, langkah-langkah itu juga akan memerlukan pemohon untuk mengemukakan nombor telefon yang pernah digunakan, alamat e-mel dan sejarah perjalanan antarabangsa mereka dalam tempoh lima tahun lepas selain ditanya sama ada telah dihantar pulang atau dikeluarkan dari mana-mana negara dan sama ada ahli keluarga terlibat dalam kegiatan pengganas.

Pentadbiran Obama juga mengamalkan pemantauan akaun pemohon visa tetapi secara lebih terhad dan sukarela. Dasar baru ini akan menjadi wajib dan lebih meluas.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button