Hiburan

Delegasi Penyanyi K-Pop Korea Selatan ke Korea Utara

Korea Selatan telah menghantar delegasi seni seramai 160 ahli ke Korea Utara, termasuk kira-kira 10 orang penyanyi K-Pop yang popular.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas kedua-dua negara Korea itu bertemu, berkata delegasi seni Korea Selatan akan melawat Pyongyang, ibu negara Korea Utara, dari 31 Mac hingga 4 April dan memberikan dua persembahan.

Baru-baru ini, sebuah band Korea Utara mengadakan persembahan di Korea Selatan semasa Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang yang baru sahaja berakhir.

Delegasi Korea Selatan akan menyertakan beberapa penyanyi yang paling terkenal di negara itu termasuk Cho Yong-pil, Lee Sun-hee dan Cho Jin-hee, yang pernah melakukan persembahan di Pyongyang semasa era pemisahan.

Kali terakhir Korea Selatan menghantar penyanyi pop ke Korea Utara adalah pada tahun 2005. Namun banyak penggemar muzik Korea Utara mengatakan bahawa mereka telah melihat drama TV Korea Selatan dan mendengar muzik K-pop secara haram walaupun terdapat larangan rasmi terhadap hiburan yang dianggap “budaya kapitalis yang merosakkan”.

Antara anggota kumpulan Red Velvet

Semasa perbincangan itu, kedua-dua negara Korea itu tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai lagu-lagu yang akan dipersembahkan di Pyongyang. Pemilihan lagu yang betul amat sensitif di Korea Utara di mana kebanyakan rakyat disekat daripada mengakses maklumat luar.

Tetapi perwakilan Korea Selatan berkata mereka optimis perjanjian boleh dicapai, dengan mengatakan mereka akan bertukar surat melalui saluran komunikasi rentas sempadan, lapor ABC News.

Pemuzik Korea Selatan yang mengambil bahagian termasuk penyanyi dan band dari pelbagai genre, dari lagu-lagu rakyat tradisional kepada trend K-pop, manakala kira-kira 20 ahli taekwondo juga turut menyertai.

Anggota band popular K-pop, Red Velvet juga terlibat dan dijangka berkongsi pentas bersama kumpulan gadis mega dari Korea Utara kumpulan Moranbong, yang terkenal dengan lagu-lagu patriotik.

Walau bagaimanapun, penyanyi tersohor, Psy yang meraih populariti global melalui lagu Gangnam Style tidak akan menjadi sebahagian daripada delegasi di Pyongyang itu.

Para pegawai Korea Selatan pada asalnya memasukkan nama penyanyi berusia 40 tahun itu dalam senarai delegasi namun, Korea Utara menolak Psy dengan alasan “perbezaan budaya”.

Persembahan Korea Selatan yang lalu di Korea Utara termasuk konsert simfoni bersama, opera dan muzik rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button