AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Jutawan Muda Wajah Baru Politik Thailand

Seorang hartawan muda Thailand telah melancarkan sebuah parti politik baru sebagai alternatif kepada parti yang sedia ada.

Thanathorn Juangroongruangkit yang memegang jawatan naib presiden eksekutif dan pengarah di syarikat Thai Summit Group, menubuhkan ‘Future Forward Party’ (Anakot Mai) dengan harapan untuk menarik pengundi muda dan rakyat yang dinafikan hak untuk mengundi.

Memetik laporan Reuters, Thai Summit Group merupakan syarikat pengeluar alat ganti pelbagai barangan yang terkemuka di Thailand.

Ia termasuk alat ganti automotif, motosikal, peralatan elektrik dan juga jentera-jentera pertanian.

“Beri peluang kepada demokrasi. Kita tidak memerlukan pentadbiran yang dibentuk daripada kekerasan,” kata pemuda berusia 39 tahun itu.

Difahamkan, kenyataan tersebut merujuk kepada pemerintahan tentera yang telah mengambil alih pentadbiran negara pada tahun 2014 dengan menggulingkan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra susulan krisis politik yang berlanjutan selama 6 bulan.

Dalam pada itu, Future Forward Party adalah parti ke 58 untuk berdaftar selepas kerajaan tentera membuka proses pendaftaran pada 2 Mac.

“Idea saya adalah untuk menjadikan parti ini agar berpegang teguh pada prinsip demokratik.

“Saya mahu melihat sebuah parti politik yang berani untuk membantah mana-mana organisasi, institusi, dan nilai yang menentang demokrasi,” tegas Thanathorn.

Ujarnya, beliau akan menjadikan amalan demokrasi sebagai sebahagian daripada setiap proses pembuatan keputusan, bermula daripada memilih anggota parti, menentukan hala tuju dan strategi, sehinggalah menubuhkan dasar-dasar parti.

Namun begitu, Thanathorn tidak akan berhasrat untuk menggunakan sumber kekayaannya untuk membiayai parti, tetapi sebaliknya akan bergantung pada sumber kewangan hasil pembiayaan dari orang ramai.

Tambah beliau, partinya juga percaya pada tadbir urus yang telus, kesamarataan ekonomi dan hak, dan juga prinsip-prinsisp progresif.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button