AntarabangsaIsu Semasa

Aplikasi Rasmi PM India Bocor Maklumat Pengguna?

Setahun selepas pelantikannya, Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan aplikasi telefon pintar rasmi dirinya bergelar ‘NaMo’.

Aplikasi tersebut menyediakan maklumat dan perkembangan terkini mengenai rancangan transformasi kerajaan untuk membangunkan India.

Bukan itu sahaja, malah ia juga membolehkan rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan perdana menteri menerusi mesej atau e-mel.

Namun baru-baru ini, terdapat dakwaan yang menuduh bahawa aplikasi itu mengongsikan/menyebarkan maklumat peribadi rakyat India kepada server yang dikawal oleh syarikat-syarikat di Amerika Syarikat (AS).

Dakwaan ini sekali gus mencetuskan salah sebuah skandal politik yang besar, lebih-lebih lagi kerana negara itu tidak mempunyai undang-undang privasi yang kukuh.

Susulan itu, Rahul Gandhi, ketua pembangkang India, turut memprovokasi Modi dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur sarkastik.

“Hi! Nama saya Narendra Modi. Saya ialah Perdana Menteri India…Apabila anda mendaftar Aplikasi rasmi, saya akan memberi semua data anda kepada rakan saya di syarikat-syarikat Amerika,” tulis Rahul di laman Twitternya.

Memetik laporan The Star, parti politik pimpinan Modi telah mempertahankan aplikasi tersebut dengan menjelaskan bahawa ia hanya berkongsi data pengguna “bagi tujuan analisis.”

Tetapi, pihak pencipta aplikasi dilihat telah mengemas kini dasar privasi selepas isu ini menjadi ‘fenomena’.

Pada asalnya, dasar itu menyatakan: “Maklumat dan butiran peribadi anda akan kekal sulit.”

Namun selepas pembaharuan yang dilakukan, ia kini berbunyi: “Sesetengah maklumat mungkin akan diproses oleh perkhidmatan pihak ketiga.”

Difahamkan, kesalahan tersebut mula diketahui umum selepas seorang penyelidik yang menggunakan nama palsu mendedahkannya.

Beroperasi di bawah nama “Elliot Alderson” yang diinspirasikan daripada siri televisyen Mr. Robot, penyelidik tersebut dilaporkan memprovokasi pihak berkuasa secara agresif berhubung isu pelbagai kebocoran data.

Menurut pakar undang-undang digital, Pavan Duggal, peraturan privasi yang diamalkan di negara itu masih berada pada tahap yang lemah.

“India tidak mempunyai sebarang kedudukan undang-undang terhadap perlombongan data. India tidak mempunyai undang-undang khusus perlindungan data.

“India juga tidak mempunyai undang-undang privasi, mahupun keselamatan siber,” jelas beliau.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close