AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Aceh Akan Memperkenalkan Hukuman Pancung?

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.

Wilayah tersebut telah diberikan kuasa autonomi khas pada tahun 2005 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan kerajaan pusat bagi menamatkan keganasan puak pemisah yang berlarutan selama berdekad-dekad.

Di bawah undang-undang Aceh, hukuman rotan di khalayak ramai dikenakan ke atas pesalah kes judi, zina dan golongan homoseksual (gay).

Kini, kerajaan wilayah itu dilaporkan bercadang untuk memperkenalkan kaedah memancung kepala bagi individu yang disabitkan bersalah dalam kes bunuh.

Ketua Undang-Undang Syariah dan Hak Kemanusiaan, Syukri M Yusuf berkata, kerajaan wilayah itu telah memintanya untuk menjalankan kajian berhubung perkara itu.

Memetik laporan Jakarta Post, beliau menyatakan bahawa kaedah hukuman itu perlu diteliti sama ada ia boleh dilaksanakan mengikut undang-undang Islam.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan mendapatkan pandangan orang ramai sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Memenggal kepala lebih kepada undang-undang Islam dan ia boleh memberi kesan mendalam. Hukuman yang berat dilaksanakan bagi menyelamatkan orang ramai.

“Kami akan mula merangka undang-undang itu selepas kajian akademiknya lengkap,” katanya.

Walau bagaimanapun, kerajaan pusat telah memberi amaran dan membantah cadangan pentadbiran Aceh untuk memperkenalkan hukuman berkenaan.

Kerajaan pusat berkata, hukuman seperti itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan wilayah.

Yasonna Laoly, Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa satu-satunya hukuman mati yang tertakluk di bawah Kod Jenayah adalah pembunuhan melibatkan skuad penembak, yang dilaksanakan di bawah arahan Pejabat Ketua Peguam Negara.

“Kod Jenayah adalah lebih tinggi kerana ia merupakan undang-undang negara dan undang-undang wilayah tidak boleh menguatkuasakannya (hukuman mati),” kata Laoly.

Show More

Related Articles

Back to top button