Bisnes & Ekonomi

Ramai Yang Tidak Puas Hati Setelah Grab Dan Uber Bergabung?

Dua hari yang lalu, Uber telah mengumumkan persetujuan untuk menjual saham mereka kepada Grab, aplikasi pengangkutan e-hailing yang berpangkalan di Singapura.

Ini adalah pencapaian terbesar bagi Grab, syarikat yang ditubuhkan kurang dari enam tahun lepas. Tetapi bagi ramai pengguna mahupun pemandu Uber pasti keliru dengan status mereka. Namun, aplikasi tersebut dikatakan berfungsi seperti biasa sehingga 8 April 2018 tetapi anda harus memuat turun aplikasi Grab setelah tarikh tersebut  manakala pemandu Uber juga perlu mendaftar sebagai pemandu Grab.

Wartawan MalayMail menemuramah beberapa pengguna dan mereka menyatakan mereka rasakan gabungan ini tidak menguntungkan pengguna kerana tiada saingan di antara syarikat untuk mendapatkan pengguna.

Najihatulaulaa Jalidar, 25, berkata dengan adanya dua syarikat, mereka sentiasa bersaing dengan memberi tawaran dan kempen pemasaran serta promosi yang hebat kepada pengguna tetapi sekarang tanpa pesaing, dia tida tidak pasti bagaimana Grab akan melayan penggunanya.
Najihatulaulaa menambah dengan berkata pengguna lebih suka apabila mereka mempunyai pilihan kerana adakalanya harga di antara dua syarikat ini berlainan dan kita boleh pilih yang mana lebih berbaloi.

Asyraf Naqiuddin, 28, pula berkata dia memang lebih gemar menggunakan perkhidmatan Uber untuk perjalanan jarak dekat kerana Grab mempunyai kadar tetap dan akan menyebabkan dia harus membayar lebih.

“Tambang Uber dari rumah saya di Taman Jaya Cheras ke LRT Bandar Tun Razak adalah sebanyak RM3 ke RM4 tetapi dengan Grab ia berharga RM5. Walaupun perbezaannya kelihatan sedikit tetapi jika menggunakannya setiap hari, perbezaan dapat dirasai,” kata Asyraf.

Faizal Idris, 27, pula juga berpendapat bahawa pengguna kini tiada pilihan dan berharap Grab tidak akan mengambil kesempatan ke atas pelanggannya dan sentiasa memberi tawaran hebat kepada pengguna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri pula berkata, kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap Grab jika ia didapati menaikkan tambang berikutan penggabungan Grab-Uber di Asia Tenggara.

Nancy, yang mengadakan pertemuan dengan Grab semalam, berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan tindakan undang-undang di bawah Akta Persaingan 2010 bagi mengekang kedudukan dan pakatan berbentuk monopoli oleh syarikat-syarikat besar untuk memanipulasi harga barang dan perkhidmatan.

Mengenai dakwaan pekerja Uber terjejas teruk dengan penggabungan itu, Nancy berkata beliau dimaklumkan mereka kini tidak bekerja buat sementara waktu bagi memberi peluang kepada Grab untuk mengambil semula mereka bekerja secara rasmi mengikut  jawatan yang sesuai.

80 kakitangan Uber di Malaysia kini diberikan cuti bergaji dengan kemudahan perubatan untuk tiga bulan akan datang sementara Grab mendapatkan peranan dan tugas baharu untuk mereka.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata pengguna Uber yang baru akan dapat memanfaatkan ciri-ciri unik seperti ‘GrabRewards’ untuk penumpang dan ‘Better365’ dan ‘GrabAllStars’ untuk rakan kongsi pemandu. 

“GrabRewards memberikan pengalaman dan perjalanan pengguna kami dengan lebih baik. Sementara itu, program Better365 dan GrabAllStars kami membolehkan rakan-rakan pemandu kami menikmati faedah, sokongan dan peluang yang lebih baik untuk berinteraksi dengan rakan-rakan melalui ‘Teh Tarik Sessions’ dan ‘Drivers Town Halls’.

Jika anda pengguna UberEats, ia akan digantikan dengan GrabFood tetapi berkemungkinan besar hanya akan hadir di bulan Mei. Oleh itu, aplikasi UberEats masih boleh digunakan. Makluman pengambilan alih kepada kedai makan yang terlibat telah dimaklumkan dan pengambilan alih akan bermula pada bulan April.

Buat masa kini, Grab menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Jika anda berada di negara-negara ini, anda tetap boleh menggunakan aplikasi Grab. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.grab.com.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close