Teknologi

Aplikasi Pasar Bantu Peniaga Pasar Basah

Dalam zaman digital sekarang, semakin ramai perniagaan beralih kepada platform dalam talian atau menggunakan aplikasi supaya kekal dalam industri yang sedang pesat berubah.

Bagi membantu pasar basah menyertai pasaran digital, dua adik beradik Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar dan Tunku Nasruan Adil Mudzaffar serta rakan bersama Jeysie Wong telah menubuhkan sebuah aplikasi yang dipanggil Pasar.

“Sekarang semua orang sedang beralih kepada pasaran digital. Walaupun terdapat aplikasi penghantaran yang menawarkan perkhidmatan untuk pasar raya, tidak ada lagi yang menawarkan perkhidmatan untuk ‘pakcik’ dan ‘makcik’ di pasar.┬áKami melihat jurang di dalam pasaran itu,” kata Danny.

Sukar mendapat pelanggan tetap

Menurut laporan The Star, barangan dapur di dalam aplikasi Pasar boleh dipesan daripada lima pasar, iaitu pasar di Taman Tun Dr Ismail, Jinjang, Taman Muda, Kampung Datuk Keramat, dan juga Jalan Othman.

Tumpuan utama pasaran mereka adalah kepada suri rumah, pekerja muda dan para pelajar yang mahu barangan dapur segar.

Menurut Danny, aplikasi Pasar telah menampakkan sebanyak 10,000 muat turun dan 5,000 pelanggan berdaftar.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bukan mudah untuk menukar pelanggan berdaftar menjadi pelanggan tetap. Pada masa kini, mereka mempunyai hanya 100 pelanggan tetap.

Perancangan masa hadapan

Aplikasi Pasar kini fokus untuk membuka akses kepada pengguna di Penang, Perak, Kedah, dan Kelantan sebelum meluaskan perkhidmatan kepada negeri-negeri di selatan Semenanjung pada separuh kedua tahun ini. Pada tahun hadapan mereka akan menumpukan kepada Sabah dan Sarawak.

Selain menambah lokasi, aplikasi Pasar juga merancang untuk menambah ciri-ciri baharu seperti e-wallet dan kad kredit dalam aplikasi untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

“Pada masa hadapan, kami ingin masuk segmen B2B dan juga┬ákaterer dan restoran. Ia adalah segmen pasaran yang kukuh tetapi memerlukan lebih banyak pelaburan dari segi logistik disebabkan pesanan yang lebih banyak. Pada masa kini, kami hanya menghantar menggunakan motorsikal. Kami memerlukan trak,” kata Danny.

Menjelang akhir tahun ini, aplikasi Pasar menyasarkan 100,000 muat turun.

Show More

Related Articles

Back to top button