AntarabangsaIsu Semasa

Thailand Akan Luaskan ‘Pintu’ Perniagaan Kepada Pelabur Asing

Thailand sedang mempertimbang untuk ‘membuka pintu’ perniagaan yang lebih luas dalam sektor industri perkhidmatan kepada pelabur-pelabur asing.

Menurut Kulanee Issadisai, ketua pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan, sebuah panel yang bertanggungjawab untuk menyelia langkah ini akan menentukan jenis perkhidmatan perniagaan yang boleh disertai oleh pihak luar.

Beliau berkata, pembaharuan ini bertujuan untuk memastikan Akta Perniagaan Luar (FBA) selaras dengan perubahan keadaan ekonomi semasa di Thailand.

Memetik laporan Bangkok Post, perniagaan-perniagaan yang akan disemak dan dinilai adalah mereka yang terletak di dalam Senarai 3 seperti yang tertakluk di bawah FBA.

Difahamkan, Senarai 3 tidak membenarkan pihak asing untuk beroperasi dalam mana-mana perniagaan tempatan Thailand yang dilihat masih belum bersedia untuk bersaing dengan pesaing luar.

Ujar Kulanee, Institut Pembangunan Penyelidikan Thailand akan mengkaji semua perniagaan Senarai 3 bagi menentukan syarikat mana yang sudah layak untuk bersaing.

Terdapat dua lagi Senarai lain yang melarang penglibatan pihak asing dalam kegiatan perniagaan tempatan.

Ia merangkumi kegiatan perniagaan yang berkaitan dengan keselamatan negara, seni dan budaya, kraftangan tradisional, serta sumber asli dan alam sekitar.

Kini, pasaran yang akan dibuka kepada pihak luar adalah yang berkaitan dengan industri-industri sasaran yang dipromosikan oleh kerajaan.

Ia termasuk perkhidmatan kenderaan generasi baru, barangan elektronik pintar, pelancongan, kesihatan, pertanian dan bioteknologi, makanan, industri robotik, logistik, penerbangan, serta bahan api berasaskan bio dan biokimia.

Setakat ini, FBA negara itu mengehadkan pegangan asing hanya sehingga 49% dalam perniagaan tempatan.

Dalam pada itu, undang-undang Thailand mewajibkan semua syarikat asing untuk mendapatkan lesen perniagaan sah terlebih dahulu bagi melibatkan diri dalam perniagaan tempatan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close