Bisnes & Ekonomi

Seni Budaya Juga Boleh Memacu Ekonomi Negara

Pada tahun September tahun lalu, sebuah agensi pene­raju pembangunan seni budaya yang digelar CENDANA telah ditubuhkan. Ia tercipta hasil dorongan penggiat seni tanah air kepada Perdana Menteri Malaysia.

Penubuhan Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) yang dipimpin oleh penggiat seni sendiri diyakini dapat mengetengahkan isi hati golo­ngan itu sekali gus membawa keberhasilan berimpak besar kepada industri seni budaya Malaysia.

Menurut sebuah laporan, industri seni budaya negara-negara membangun kini menyumbang 3%-6.9% kepada ekonomi negara mereka. Ini adalah pasaran atau potensi di mana Malaysia boleh mengambil kesempatan dan juga mengoptimumkan untuk melengkapkan transformasi Malaysia.

Wawasan CENDANA adalah untuk membina ekonomi seni budaya yang pesat berkembang dan penuh inspirasi bagi Malaysia, yang boleh dikongsi bersama seluruh rakyat.

Ia ditadbir oleh Jawatankuasa Penasihat Eksekutif yang memantau pembangunan dan pelaksanaan strategi korporat dan, memastikan objektifnya dicapai. Dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan (Penasihat Komunikasi kepada Perdana Menteri) dan dianggotai tokoh-tokoh yang berwibawa dalam sektor awam dan swasta seperti Johan Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures), Shahira Ahmed Bazari (Pengarah Urusan Yayasan Hasanah), Datin Azalina Adham (Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia) dan Datuk Khairul Anwar Salleh (Naib Presiden Perniagaan Bahasa Melayu ASTRO).

Ia turut dianggotai tokoh-tokoh berpengalaman dalam sektor seni dan kebudayaan untuk memberikan nasihat dan cadangan mengenai pelaksanaan aktiviti strategik dan taktikal Cendana.

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd. Sallehuddin berkata, sebagai langkah permulaan, agensi itu menumpukan kepada seni persembahan, seni visual dan muzik indie di Lembah Klang dalam ruang kecil, sederhana serta lokasi awam.

Mereka mempunyai pelan pembangunan strategik melalui tiga perkara ini:

  1. Memperkukuhkan seni: merangsang permintaan seni Malaysia dari khalayak ramai dan dari perdagangan (direktor festival, kurator dan lain-lain lagi). Sebagai contoh, promosi cuti sekolah untuk menggalakkan penonton hadir aktiviti-aktivi seni budaya.
  2. Memperkasakan komuniti: meningkatkan peluang untuk penggiat seni budaya berjaya dan juga meningkatkan kualiti kerja mereka. Sebagai contoh, program dana, peluang mentoring dan macam-macam lagi.
  3. Menyusun semula struktur: menganjurkan dan melobi untuk dasar dan rangka kerja yang lebih baik yang akan membolehkan pertumbuhan sektor budaya.

Pegumuman peruntukan tambahan dalam Bajet 2018 seni budaya melalui CENDANA, mengukuhkan usaha Kerajaan Malaysia dalam mempromosikan pertumbuhan ekonomi kebudayaan di luar Lembah Klang dan memaksimumkan potensi ekonomi negara melalui seni budaya di samping memupuk jiwa bangsa.

Pada keseluruhannya penubuhan agensi ini dilihat sebagai satu langkah yang positif yang memberi harapan baru kepada penggiat seni dan budaya dalam bidang muzik indie, seni persembahan dan seni visual. Semoga mereka berjaya dalam semua usaha-usaha murni mereka untuk membangunkan bidang seni dan budaya tempatan.

Baru-baru ini CENDANA menjemput penggiat seni visual untuk membabitkan diri dalam memberikan imej yang unik kepada bandar raya Kuala Lumpur sambil mempromosikannya sebagai destinasi budaya kreatif menerusi program ‘Art In The City’.

Ia merupakan inisiatif paparan karya seni visual untuk menyemarakkan kesedaran rakyat terhadap landskap seni dan budaya Malaysia.

Karya seni yang mendapat undian tertinggi akan diperbesarkan imejnya dan dipamerkan di atas bangunan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain itu, ia akan diteruskan melalui pengaktifan galeri mini di lobi bangunan dan pertubuhan yang mengambil bahagian, bengkel seni, jalan jejak seni di sekitar ibu kota, pembikinan mural serta pemasangan karya seni jalanan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button