AntarabangsaIsu Semasa

Mumia Ditemui Dalam Keranda Yang Sebelum Ini Dianggap Kosong

Saintis di Australia telah menemui jasad mumia di dalam keranda berusia 2,500 tahun yang sebelum ini dianggap kosong.

Keranda batu ini telah diletakkan di dalam sebuah muzeum universiti di Sydney selama 150 tahun.

MACQUARIE MEDICAL IMAGING

Apabila para saintis membuka keranda tersebut pada tahun lepas, mereka terkejut melihat sisa kaki dan tulang manusia.

Menurut para penyelidik jasad tersebut telah dirosakkan, kemungkinan besar oleh penceroboh makam.

Ahli arkeologi, Dr Jamie Fraser berkata penemuan tersebut, yang baharu sekarang diumumkan kepada awam, adalah detik yang luar biasa.

Usaha mengenal pasti identiti mumia

Keranda batu itu merupakan salah satu daripada empat keranda yang diperoleh dari Mesir sekitar tahun 1860 oleh pengasas muzeum. Buku panduan muzeum telah mengelaskannya sebagai kosong.

Dr Fraser berkata keranda yang “kelihatan serbah-serbih dan tidak menarik” itu mendapat kurang perhatian daripada ahli kaji purba Mesir yang lebih minat mengkaji keranda lain yang lebih mengagumkan dan mempunyai mumia ‘lengkap’.

Mereka akan cuba mengenal pasti identiti mumia, yang telah teruk dimusnahkan dan diselongkar oleh penceroboh makam pada suatu ketika dahulu. Terdapat hanya 10% daripada jasad mumia di dalam keranda itu.

Menurut laporan BBC, aksara hiroglif yang terpapar merujuk kepada tahun 600 Sebelum Masihi (SM) dan memberitahu bahawa ia dibina untuk seorang wanita bernama Mer-Neith-it-es, iaitu seorang paderi wanita atau seorang penyembah.

MACQUARIE MEDICAL IMAGING

Imbasan CT dan ekskavasi telah selesai dilakukan minggu lepas. Hasil ekskavasi menemui beberapa tulang, pembalut, serpihan resin, dan lebih daripada 7,000 manik daripada sehelai selendang.

Dr Fraser juga berharap ujian radiokarbon akan membuktikan bahawa mumia tersebut meninggal sekitar 600SM. Sekiranya ia betul, kemungkinan besar mumia yang berada di dalam keranda itu milik seorang wanita bernama Mer-Neith-it-es.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker