AntarabangsaIsu Semasa

Bahadur Agha: Wira Afghanistan Yang Tidak Diketahui Ramai

Bahadur Agha, seorang pakar pemusnah bom warga Afghanistan, merupakan wira yang tidak didendang.

Anggota polis berusia 31 tahun itu telah meninggal dunia pada bulan Disember lepas, namun kematiannya tidak diketahui ramai sehinggalah bulan lalu.

Memetik laporan Tribune, Bahadur telah menyelamatkan nyawa yang tidak terkira di Afghanistan Afghanistan daripada ancaman periuk api dan bahan letupan Improvised Explosive Device (IED) yang berleluasa.

Peperangan selama 4 dekad telah menjadikan Afghanistan sebagai salah sebuah negara yang mempunyai periuk api terbanyak di dunia.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, IED telah meragut lebih daripada 600 nyawa orang awam di negara itu pada tahun 2017.

Lebih mengujakan, Bahadur mematikan semua bahan letupan tersebut hanya dengan menggunakan tangannya, tanpa sebarang peralatan lain seperti pelindung muka, helmet, perisai badan, mahupun sarung tangan.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga telah mengalami kecederaan teruk yang hampir membawa maut buat beberapa kali semasa melaksanakan tugasnya.

Difahamkan, ahli keluarganya telah dibunuh oleh puak Taliban dan sejak itu, kesedihan dan kemarahan beliau telah mendorongnya untuk terus menyelamatkan nyawa orang lain walaupun menghadapi pelbagai rintangan.

Dalam satu temubual pada tahun 2016, Bahadur pernah menyatakan bahawa beliau pernah tercedera sebanyak 6 kali, dan kecederaan yang ketujuh mungkin akan “membunuhnya.”

“6 kali saya sudah tercedera, kali ketujuh mungkin saya ‘habis’,” katanya kepada wartawan VICE News, Ben Anderson┬ásambil tersenyum di hadapan kamera.

“Keluarga saya sudah tiada, semuanya telah hilang. Mungkin saya akan mati, tetapi itu tidak menjadi masalah,” tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, kata-katanya itu menjadi realiti apabila beliau maut ketika hendak mematikan dua bom yang dipasang oleh Taliban.

“Apabila bom pertama berjaya dimatikan, (bom) kedua meletup…. Bom kedua…. mengambil Bahadur daripada kami,” kata abang iparnya, Ahmad Shah Zaland.

Saudara mara dan rakan-rakan seperjuangannya turut menyifatkan beliau sebagai seorang individu yang amat berkemahiran dan patriotik.

Menurut seorang rakannya bernama Haibatullah, Bahadur merupakan individu yang akan menyelesaikan segala masalah rumit dengan sifat beraninya yang tiada tandingan.

“Dalam keadaan rumit, Bahadur adalah orang yang menyelesaikannya. Kerajaan tidak ambil peduli langsung tentang hidup kami,” ujarnya.

Walaupun telah berkorban jiwa dan raga demi negara, kematian Bahadur tidak mendapat perhatian orang ramai.

Mullah Yaar Gul, seorang ketua penduduk berkata, hanya 15 hingga 20 orang sahaja yang hadir di majlis pengebumian wira itu sehari selepas pemergiannya.

Akhir sekali, kehidupan Bahadur benar-benar melambangkan erti sebenar namanya – Bahadur dalam bahasa Pashto membawa maksud “si berani” atau “wira.”

Show More

Related Articles

Back to top button