FesyenGaya Hidup

Minggu Fesyen Arab Semarakkan Revolusi Fesyen Wanita Saudi

Dengan kebenaran penganjuran Minggu Fesyen Arab bermula dari 26-31 Mac di Pusat Apex, Riyadh, Arab Saudi kini dilihat bersedia ke arah revolusi fesyen, kata pakar dan wanita tempatan negara terbabit.

Sebelum ini, wanita Saudi cukup sinonim dengan pakaian seperti jubah hitam atau abaya dengan penutup muka penuh. Tetapi kini, wanita mula mengenakan jubah yang berwarna-warni bahkan ada yang sudah mula tidak berhijab.

“Memakai tudung kini bukan lagi satu paksaan. Pada tahun lepas ramai wanita tidak menutup muka atau rambut mereka ketika berada di khalayak seperti restoran,” kata Hanadi al Hindi, juruterbang wanita pertama Arab Saudi.

Sejak Putera Mahkota Mohammed bin Salman menjadi pewaris takhta Saudi pada Jun 2017, pelbagai undang-undang baru telah diluluskan untuk memperkasakan wanita dan membuka ruang untuk hiburan.

Menurut Verdict, trend fesyen di Arab Saudi mula beralih sekitar empat tahun yang lalu apabila pakaian serba hitam dan penutup muka penuh (niqab) yang dipakai wanita Saudi mula menjadi kurang biasa.

Tetapi revolusi fesyen berlaku pada Oktober 2017 apabila Putera Mahkota menyekat kuasa polis agama daripada meronda jalan dan pusat membeli-belah untuk menguatkuasakan kod pakaian patuh Syariah.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Putera Mahkota Saudi berkata bahawa pemakaian penutup kepala hitam penuh dan abaya tidak termaktub dalam undang-undang.

“Undang-undang ini sangat jelas dan tertakluk dalam undang-undang Syariah: bahawa wanita memakai pakaian yang sopan dan bermaruah seperti lelaki. Walau bagaimanapun, ini tidak khusus kepada abaya hitam atau penutup kepala hitam. Keputusan itu diserahkan kepada wanita untuk menentukan jenis pakaian yang sopan dan terhormat yang dipilih untuk dipakai. “

‘Fesyen Halal’ yang mematuhi undang-undang Islam bakal diperagakan di pentas pembukaan minggu fesyen pertama Arab Saudi pada 26 Mac di ibu kota Riyadh.

Biasanya diadakan di Dubai, Minggu Fesyen Arab dijangka menjadi platform bagi pereka tempatan dan serantau untuk mempamerkan fesyen terbaru mereka. Ia juga akan menarik para pereka dari barat yang mempunyai gaya fesyen Halal yang boleh dipasarkan.

Dengan kesediaan wanita-wanita Arab yang lebih terbuka untuk berfesyen dan penyediaan hiburan seperti pawagam-pawagam dan restoran-restoran mula dibangunkan, Minggu Fesyen Arab Saudi dijangka akan menarik perhatian ramai.

Seperti pembaharuan sosial dan ekonomi lain kerajaan terbabit, acara ini juga bertujuan untuk membuka industri fesyen sebagai sebahagian daripada rancangan pembaharuan ekonomi negara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.

Show More

Related Articles

Back to top button