Isu SemasaTempatan

Mengapa Kurang Wanita Sebagai Ahli Lembaga Pengarah?

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kecewa usaha untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor korporat sedang berlaku dengan perlahan.

Ketua Wanita Barisan Nasional itu bingung mengapa usaha untuk menjadikan lebih ramai wanita sebagai ahli lembaga pengarah lambat berlaku meskipun terdapat ramai pemimpin wanita yang berbakat di sektor swasta.

“Saya rasa kemajuan ini berlaku lebih perlahan (berbanding sektor kerajaan).

“Kita tidak boleh berlengah-lengah lagi untuk kaum hawa yang berkelayakan diberi jawatan yang sepatutnya.

“Malangnya, isu berkaitan jantina di Malaysia mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan daripada yang sepatutnya,” kata Shahrizat dalam satu wawancara eksklusif dengan akhbar New Straits Times.

Stastistik data Bursa Malaysia menunjukkan dalam kalangan 100 syarikat ternama Malaysia pada suku ketiga 2017, terdapat peningkatan pada bilangan syarikat yang mempunyai 30 peratus perwakilan wanita.

Nilainya meningkat daripada 16.6 peratus pada tahun sebelumnya berbanding 17.1  pada akhir tahun lepas.

KEMAJUAN PERLAHAN AKIBAT KETIADAAN UNDANG-UNDANG MENEKAN SEKTOR KORPORAT

Beliau percaya kemajuan yang perlahan dalam sektor swasta untuk memperkasakan lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan adalah kerana tidak ada undang-undang yang sepatutnya untuk menekan sektor korporat supaya menyokong usaha tersebut.

“Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia sesuatu usaha itu hanya akan mendapat sokongan individu dan organisasi apabila terdapat undang-undang yang menekan mereka untuk berbuat demikian.

“Saya tahu terdapat negara lain juga yang mempunyai undang-undang yang menggalakkan kesaksamaan jantina (di sektor swasta).”

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

Mengimbas kembali ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, beliau telah mendesak Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan supaya dipinda untuk memastikan tidak ada diskriminasi jantina di Malaysia.

Tindakan yang digambarkannya sebagai legasi beliau ketika memegang jawatan sebagai  ahli kabinet, telah mencetuskan banyak dasar mesra wanita, termasuk dasar untuk mempunyai 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor kerajaan.

“Alhamdulillah, ia telah berfungsi dengan baik. Sebelum pelaksanaan dasar itu, terdapat hanya seorang setiausaha agung wanita.

“Ketika saya meninggalkan kementerian tersebut, terdapat tidak kurang lima orang pemimpin wanita mengetuai kementerian dalam kerajaan.

“Hal inilah yang membuat saya kuat menegakkan undang-undang dan dasar,” terang Shahrizat, yang merupakan seorang bekas majistret selama tiga tahun.

Tambah beliau lagi, beliau menyokong langkah kerajaan untuk memperkenalkan sebuah undang-undang baru, yang digelar Akta Kesaksamaan Jantina. Ia dicipta untuk menangani diskriminasi terhadap wanita.

“Walau bagaimanapun, kajian yang menyeluruh mesti dijalankan ketika merangka undang-undang ini.

“Kita mesti memastikan mana-mana undang-undang yang mahu diumumkan hendaklah selari dengan semangat perlembagaan negara.” Tegasnya menutup perbualan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button