Isu SemasaTeknologiTempatan

Malaysia Mengkaji Kenakan Cukai Ke Atas Facebook, Google

Kementerian Kewangan kini sedang menjalankan kajian terperinci tentang mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Facebook.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara ini dilakukan atas sebab keperluan, dan juga untuk mencari mekanisme cukai dan model yang terbaik.

Menurut Malaysian Association of Tax Accountants (MATA), Malaysia harus mengenakan cukai ke atas syarikat gergasi rangkaian sosial seperti Google dan Facebook disebabkan keuntungan yang mereka perolehi menerusi platform periklanan digital.

Datuk Seri Wong Chun Wai berkata dalam sebuah sesi perbincangan, kerajaan perlu mengenakan cukai kepada Google dan Facebook kerana kedua-dua syarikat ini menguasai hampir 70 peratus periklanan digital di Malaysia.

Presiden MATA, Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata berdasarkan prinsip keadilan cukai, syarikat-syarikat ini perlu dikenakan cukai tetapi implementasi mekanisme ini harus dikaji dan disemak semula dengan teliti terlebih dahulu.

Tambahnya lagi, pelbagai faktor perlu diambil kira bagi memastikan proses ini dijalankan dengan teliti. Terdapat beberapa negara lain sebelum ini yang pernah memberi cadangan untuk mengenakan cukai kepada syarikat-syarikat tersebut, namun telah ditolak disebabkan kekurangan justifikasi.

Ab Aziz berkata semua perkara berkaitan cukai perlu dirujuk kepada Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ketika Akta ini digubal, tiada perniagaan di dalam talian, konsep digital dan media sosial. Kerana itu, perubahan harus di buat, terutamanya daripada segi teknikal dan implementasi. Ia akan mengambil masa,” katanya kepada NSTP.

Bagi memudahkan proses percukaian, pendapatan syarikat Google dan Facebook perlu diketahui.

“Sebuah syarikat atau entiti yang boleh dikenakan cukai di Malaysia perlu mempunyai lokasi tetap di sini.”

Tambahnya lagi, banyak perkara lain yang perlu diketahui seperti ‘adakah mereka menerima royalti?’ dan ‘adakah transaksi tersebut berlaku di Malaysia ataupun tidak?’

“Hal ini menyebabkan perlu adanya kajian lebih mendalam untuk memastikan jika mekanisme pelaksanaan cukai akan menguntungkan negara dan rakyatnya. Mungkin kita boleh merujuk kepada Vietnam yang telah pun melaksanakan cukai ini,” katanya.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker