AntarabangsaIsu Semasa

AS Tidak Mampu Halang Senjata ‘Kebal’ Rusia

Seorang pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) meluahkan kebimbangannya terhadap senjata baru ciptaan Rusia yang dikatakan ‘kebal’.

Menurut komander Markas Pemerintahan Strategik AS, Jeneral John Hyten, tiada satu pun alat dalam sistem pertahanan AS yang mampu menghalang senjata hipersonik Moscow itu.

“Kami tidak mempunyai sebarang pertahanan yang mampu menghalang senjata seperti itu sekiranya ia dilancarkan,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Jim Inhofe.

Mengulas cadangan yang digariskan dalam Nuclear Posture Review, Hyten menyatakan bahawa kerajaan AS mungkin mempertimbangkan penggunaan peluru berpandu kapal selam dengan senjata nuklear berkuasa rendah sebagai tindak balas terhadap rancangan pertempuran Rusia.

Beliau berkata, gabungan senjata tersebut, ditambah dengan peluru berpandu balistik antara benua, pesawat pengebom strategik dan peluru berpandu balistik kapal selam, adalah cara yang terbaik untuk menangani ancaman Rusia, China atau Korea Utara.

Namun pada masa ini, Rusia dan China sedang membangunkan senjata hipersonik canggih dengan agresif sekali gus membuatkan AS ketinggalan di belakang.

Memetik laporan Sputnik News, senjata hipersonik Washington masih berada di peringkat konsep dan ujian setakat ini.

Selain itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin juga merancang untuk membina torpedo nuklear yang mampu menumpaskan semua sistem pertanahan strategik AS.

Dalam sebuah perbualan telefon bersama Putin, Presiden Donald Trump sempat bermegah-megah dengan langkah negaranya yang akan membelanjakan AS$ 700 bilion (RM 2.74 trilion) untuk menaik taraf keupayaan ketenteraannya.

Ahli Republikan berkontroversi itu turut menegaskan bahawa Rusia akan tewas di tangan AS dalam sebarang perlumbaan senjata (arms race) yang baru pada zaman ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button