Bisnes & EkonomiIsu Semasa

Perjanjian Kerjasama Rapat Ekonomi Malaysia-Pakistan (MPCEPA)

Malaysia dan Pakistan telah memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada bulan November tahun 2007 di Kuala Lumpur, dan mula dikuatkuasakan 1 Januari tahun berikutnya.

Dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia Pakistan (MPCEPA), ia merupakan FTA kedua bagi Malaysia dengan negara asing selepas Jepun, dan juga perjanjian dua hala pertama diwujudkan di antara negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

MPCEPA bertujuan untuk memudahkan serta meluaskan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara.

Ia merangkumi liberalisasi dalam perdagangan barangan dan perkhidmatan, serta kerjasama teknikal dan pembangunan kapasiti dalam pelbagai bidang termasuk penjagaan kebersihan, perlindungan harta intelek, pelaburan, pembinaan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan.

 

MANFAAT PCEPA

Di bawah perjanjian ini, Malaysia dan Pakistan akan mengurangkan atau menghapuskan tariff ke atas barangan industri dan pertanian secara progresif.

Malaysia juga mendapat pengurangan duti import bagi 77% barangan dari Pakistan.

Dalam tahun pertama pelaksanaan MPCEPA, sebanyak 91 syarikat Malaysia telah mendapat manfaat daripada tarif keutamaan yang diberikan oleh Pakistan.

Pada 2008, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan sejumlah 3,026 Pensijilan Asal (COO) dengan eksport berjumlah RM4 juta.

Difahamkan, Pensijilan COO merupakan dokumen yang mengesahkan produk negara asal.

COO diperlukan oleh syarikat Malaysia untuk layak menerima layanan keutamaan yang ditawarkan oleh Pakistan.

Dalam pada itu, Pakistan telah membenarkan 60% pemilikan asing bagi pembekal perkhidmatan Malaysia untuk memulakan perniagaan di Pakistan.

Malaysia juga memperolehi akses kepada pasaran yang baru, eksklusif dan lebih liberal berbanding negara-negara lain menerusi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Pada tahun 2009 pula, (MITI) menyatakan bahawa Pakistan telah menghapuskan duti import ke atas lebih 1,600 produk Malaysia setakat bulan Januari tahun itu.

Salah satu produk yang dikurangkan tarif adalah minyak sawit, yang merupakan barangan utama yang diimport dari Malaysia.

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju untuk mengkaji semula perjanjian ini bagi tempoh setiap lima tahun bagi memastikan keseimbangan perdagangan agar semua pihak dapat menikmati segala manfaat MPCEPA secara berterusan.

Malaysia juga muncul sebagai pelabur kedua terbesar di Pakistan, khususnya dalam sektor perhutanan, pelancongan, perlombongan dan pembinaan.

 

PELUANG BESAR UNTUK PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)

Perjanjian MPCEPA diperbaharui pada tahun 2017 yang mengambil kira beberapa elemen baru yang melibatkan perusahaan kecil dan seder hana (PKS).

Menerusi pembaharuan ini, PKS boleh memanfaatkan kelebihan yang ditawarkan dalam bidang pelaburan tertentu di Pakistan.

Bagi memudahkan komuniti perniagaan Malaysia dan Pakistan, lebih banyak pengurangan duti ke atas tarif sedia ada dan tarif-tarif tambahan turut dilaksanakan.

Oleh itu, kerajaan amat menggalakkan PKS Malaysia, khususnya dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, serta makanan dan minuman (F&B) untuk menerokai pasaran Pakistan yang luas.

Tahun 2015 menyaksikan peningkatan jumlah perdagangan yang memberangsangkan (6.2%) di antara kedua-dua negara, daripada RM 4.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM 5 bilion.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button