AntarabangsaIsu Semasa

Kanak-Kanak Lelaki Mangsa Utama Penderaan Seksual

Baru-baru ini, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) mendedahkan bahawa kes penderaan seksual di negara itu melibatkan lebih ramai mangsa dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Menurut Susanto, pengerusi KPAI, suruhanjaya berkenaan telah menerima 223 laporan penderaan seksual ke atas kanak-kanak lelaki daripada bulan Januari dan Februari tahun ini.

Wilayah Jambi merekodkan bilangan kes yang tertinggi iaitu 80, sementara Tangerang dan Banten pula berada pada tangga yang kedua dengan 45 kes, diikuti Selatan Tapanuli, Sumatera Utara (42), Aceh (26), Karanganyar, Jawa Tengah (17), Banyumas, Jawa Timur (7), serta Tasikmalaya, Jawa Barat (6).

“(Rekod ini) menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki juga sama terdedah (terhadap penderaan seksual) seperti perempuan. Oleh itu, kita perlu menguatkuasakan perlindungan yang lebih kukuh untuk kanak-kanak lelaki juga,” kata Susanto.

Sementara itu, pesuruhjaya KPAI, Retno Listyarsi berkata, kes-kes seperti ini selalunya berlaku di institusi-institusi pendidikan, di mana majoriti pesalah adalah dari kalangan guru sekolah rendah dan menengah.

“Penderaan ini berlaku di dalam kawasan sekolah seperti di dalam tandas, bilik darjah, pejabat organisasi pelajar (OSIS) dan juga di dalam bilik solat,” ujar beliau.

Memetik laporan Jakarta Post, individu yang disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun atau bayaran denda sehingga 5 bilion Rupiah (RM 1.3 juta) seperti yang tertakluk di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak 2014.

Tetapi sekiranya pesalah berada di bawah umur (juvenil), dia akan didakwa di bawah Undang-undang No. 11/2012 dalam Sistem Pengadilan Jenayah Juvenil.

Dalam pada itu, Susanto menyatakan bahawa pihak suruhanjaya akan menyelia proses mahkamah bagi pesalah bawah umur dalam kes penderaan seksual kanak-kanak.

“Ini adalah untuk memastikan prosedur kehakiman yang betul,” tambahnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker