AntarabangsaIsu Semasa

Gadis Pelarian Syria Berkahwin Muda Kerana Kemiskinan

Semakin ramai kanak-kanak perempuan di kalangan 1.5 juta pelarian Syria yang melarikan diri ke Lubnan sejak 2011 telah menjadi seorang isteri disebabkan kemiskinan.

Dikahwinkan kerana tidak mampu menyara hidup

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kira-kira satu daripada lima kanak-kanak perempuan Syria berusia 15 hingga 19 tahun di Lubnan telah berkahwin.

Kemungkinan besar ramai lagi wanita semuda ini akan dikahwinkan kerana keluarga mereka tidak mampu lagi menyara makan, tempat tinggal dan perubatan mereka.

Lebih tiga per empat daripada pelarian di Lubnan hidup di bawah garis kemiskinan dan berhadapan dengan kesukaran untuk hidup menggunakan perbelanjaan sebanyak AS$4 (RM15) sehari, kata Unicef.

Undang-undang

Kafa, sebuah kumpulan hak asasi, menyeru Lubnan untuk meluluskan undang-undang untuk menetapkan usia minimum perkahwinan.

Pada masa kini tiada umur minimum untuk berkahwin di Lubnan. Menurut Human Rights Watch, undang-undang peribadi masyarakat membenarkan gadis berumur 15 tahun untuk berkahwin.

Kafa berkata Lubnan berada jauh di belakang negara-negara lain di rantau tersebut yang telah menetapkan usia 18 tahun sebagai umur minimum untuk berkahwin.

Negara tersebut termasuk Algeria, Mesir, Iraq, Jordan, Libya, Maghribi, Oman, Tunisia dan Emiriah Arab Bersatu.

“Perkara ini sedang meningkat..kerana mereka hidup di dalam komuniti yang sangat tertutup,” kata Salwa Al Homsi, jurucakap Kafa.

“Ibu bapa, mereka tidak mampu menyara anak-anak mereka.”

Pendidikan sebagai jalan keluar

“Lebih muda seorang gadis itu berkahwin, lebih berisiko dia akan mengalami keganasan rumah tangga,” kata Jihane Latrous, pakar perlindungan kanak-kanak Unicef.

“Ia adalah faktor yang sangat membimbangkan kerana mereka tidak dapat menangani situasi sedemikian.”

Berkahwin sebelum umur 18 tahun

Hampir 35 peratus wanita berusia 20 hingga 24 tahun di Bekaa Barat yang ditinjau pada tahun 2016 telah berkahwin sebelum mencapai usia 18 tahun, menurut UNFPA.

Selain menetapkan usia minimum untuk perkahwinan, pendidikan seorang gadis adalah kunci untuk memecahkan kitaran kemiskinan, kata Latrous.

“Semakin kurang pendidikan untuk generasi muda, semakin kurang mereka mampu membesarkan anak-anak dengan cara yang memperkasakan anak-anak mereka,” tambah Latrous.

Show More

Related Articles

Back to top button