Isu SemasaPolitikTempatan

Berita Palsu ‘Musuh Nombor 1’ Ahli Politik

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang disifatkan sebagai “Pilihan Raya Media Sosial” memandangkan kempen-kempen politik dijangka akan dilaksanakan secara meluas dan agresif di atas talian (online).

Berkempen secara online merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk menarik perhatian pengundi kerana rata-rata masyarakat tidak kira yang muda mahupun tua telah menjadikan media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dll.) sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.

PRU12 pada tahun 2008 pula dianggap sebagai era blog, manakala PRU13 yang berlangsung lima tahun lepas pula menyaksikan ramai pengguna internet melayari Facebook untuk mendapatkan pandangan politik sebelum mengundi.

Memetik laporan NST, populasi Malaysia mencatatkan 32.2 juta penduduk pada suku ketiga tahun 2017, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Negara.

Sementara itu, portal statistik antarabangsa, Statista, mendapati bahawa 68% rakyat Malaysia (21.9 juta) aktif menggunakan aplikasi Whatsapp pada tempoh yang sama.

Kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pula menunjukkan terdapat 21.9 juta pengguna media sosial pada tahun 2016, di mana 97.3% (21.3 juta orang) daripada jumlah itu adalah pengguna Facebook.

Walau bagaimanapun, penyebaran berita palsu di media sosial kini menjadi ancaman utama yang berpotensi menjejaskan proses pilihan raya dan juga kestabilan negara.

Platform itu juga memainkan peranan penting dalam membantu parti-parti politik untuk meraih sokongan rakyat, tetapi berita palsu kini menjadi musuh nombor satu ahli politik kerana ia boleh mencalarkan imej sekali gus mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti mereka.

Dr C. Sara, pakar media sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, gejala ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang awam, sekali gus mempengaruhi proses mereka dalam membuat keputusan.

Menurut beliau, Facebook lebih merupakan platform yang lebih mendatangkan bahaya sekiranya ia dimanipulasi berbanding Whatsapp, memandangkan laman sosial itu boleh mencapai lebih ramai pengguna.

“Penggunaan Whatsapp sangat tinggi kerana bilangan pemilik telefon pintar yang besar, tetapi mereka hanya boleh berkongsi maklumat dalam beberapa kumpulan yang terhad.

“Facebook mempunyai liputan yang lebih meluas kerana anda boleh berkongsi artikel, video dan terdapat ciri ‘live’ untuk rancangan bual bicara, jadi ia boleh menyebarkan pelbagai maklumat,” katanya.

Untuk menangani ancaman ini, kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah undang-undang khas bagi melindungi orang ramai daripada terpedaya dengan berita palsu.

Walaupun terdapat bantahan dari segelintir pihak, golongan pakar menyokong langkah ini dan menyifatkannya sebagai “tepat pada masa” untuk dilaksanakan.

Difahamkan, Perancis dan Ireland juga sudah mula merangka undang-undang untuk membasmi berita palsu, dan Jerman pula telah mula menguatkuasakan “Undang-Undang Facebook” pada bulan Januari.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close