Bisnes & Ekonomi

Jutawan Berjaya Beli Syarikat Selepas Ditolak Bekerja

IOI Corp sudah lama menjadi sebuah syarikat perladangan yang cemerlang. Hal ini ekoran rekod luar biasa syarikat itu berkaitan bekalan tumbuhan organik serta menerusi pengambilalihan syarikat lain.

Mula memperoleh estet pada era 90-an, IOI Corp telah berkembang dari segi saiz dan keuntungan, seterusnya menjadikan Tan Sri Lee Shin Cheng pemilik IOI-Corp individu ke-4 terkaya di negara ini.

Perniagaannya yang meluas juga adalah disebabkan perniagaan hartanahnya melalui IOI Properties Group Bhd yang menyaksikan kekayaannya meningkat sebanyak 8.4% pada tahun lepas daripada 19 bilion kepada RM20.6 bilion.

Sebagai pengerusi eksekutif IOI Group, semangat Tan Sri Lee tidak seperti mereka yang berusia 78 tahun. Dia telah melalui banyak kesukaran untuk mencapai kejayaan yang dikecapinya hari ini. Beliau dikenali ramai sebagai seorang yang pintar dalam perniagaan serta sebagai seorang ahli perniagaan yang rajin bekerja.

IOI adalah sebuah syarikat perladangan tempatan yang mula beroperasi pada tahun 1982. Dalam tempoh kurang daripada 30 tahun, IOI Group telah berjaya menjadi antara  salah satu perniagaan minyak kelapa sawit yang terkemuka di dunia serta telah beroperasi di sebanyak tujuh negara.

ASAL-USUL TAN SRI LEE

Lee membesar di sebuah estet getah di Jeram, Kuala Selangor, di mana mendiang bapanya  telah membuka sebuah kedai runcit kecil.

Pada usia 11 tahun, dia telah berhenti belajar supaya dapat membantu menambah pendapatan keluarganya. Beliau telah menjual ais krim menggunakan sebuah basikal lama. Apabila hujan, jalan akan berlumpur, seterusnya membuatkan roda basikalnya terbenam ke dalam tanah.

Tidak dapat mengayuh basikalnya, Lee yang ketika itu masih kecil lagi telah mengangkat  kotak aiskrim berat itu di atas bahunya sehingga bantuan tiba. Melindungi kotak ais krimnya adalah perkara utama baginya kerana ia adalah punca pendapatannya. Situasi yang sukar seperti itulah yang membentuk dan mengasah kekuatan dan semangat Lee sebagai seorang peniaga.

Lee akhirnya kembali bersekolah setelah menyedari bahawa satu-satunya jalan keluar dari kesukaran adalah melalui pendidikan.

Di dalam sebuah temubual dengan akhbar The Star beliau telah menceritakan lebih banyak tentang dirinya.

“Kelapa sawit adalah sesuatu yang sangat dekat dengan hati saya.  Ia merupakan cinta pertama saya  ekoran saya merasakan bahawa tumbuhan ini adalah sesuatu yang mampan, serba boleh serta sangat berguna kepada manusia .

“Ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan; samaada untuk tujuan penghasilan makanan ataupun lain-lain. Di samping itu, industri ini telah banyak membantu petani dan pekebun kecil-kecilan dalam menjamin pendapatan yang stabil serta menjadi usahawan,” jelasnya tentang minat pertamanya ini.

Bercerita tentang latar pendidikannya, disebabkan dia bersekolah di sekolah cina, dia belajar Bahasa Inggeris daripada orang di sekelilingnya. Selepas belajar sehingga peringkat Senior Middle Three (bersamaan dengan Tingkatan Lima), beliau memohon pekerjaan di sebuah syarikat perladangan milik Barat (Dunlop Estates).

TIDAK DITERIMA KERJA KERANA BAHASA INGGERISNYA TERUK

“Dahulu, kebanyakan syarikat perladangan dimiliki orang putih. Saya ada pergi ke sesi temuduganya.  Walaupun saya dapat menjawab hampir kesemua soalan mereka berkenaan perladangan, permohonan pekerjaan saya telah ditolak kerana Bahasa Inggeris saya teruk”jelasnya dengan hampa.

Terangnya lagi “walaupun saya sangat kecewa ketika itu, namun saya memutuskan untuk berusaha dengan lebih lagi serta tidak berputus asa.

“Saya kemudian mendapat kerja sebagai penyelia di sebuah syarikat perladangan yang lebih kecil. Saya belajar tentang segala-galanya dan memberikan yang terbaik di tempat kerja. Lama-kelamaan saya berjaya memegang jawatan sebagai pengurus hartanah.” Katanya.

Sebagai pengurus beliau telah belajar lebih banyak kemahiran, antaranya seperti merancang jadual penanaman, pengurusan ladang malah pembinaan (hal ini disebabkan beliau yang bertanggungjawab untuk membina kuarters buruh di ladang).  Semua pengalaman dan kemahiran ini menyumbang kepada kejayaan beliau di masa hadapan.

 “Apabila saya berjaya mengumpul jumlah wang yang mencukupi, saya terus membeli Dunlop Estates. Hal ini merupakan salah satu pencapaian terpenting dalam hidup saya.

“Saya masih ingat ada yang datang serta bertanya,  mengapa saya beli sebuah syarikat perladangan yang dianggap ibarat ‘matahari terbenam’ (bakal bankrap). Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya melihat potensinya dan menjawab, ‘hari ini ia ibarat matahari terbenam, esok matahari akan terbit.’”, terangnya mengimbas kembali memori tersebut.

Tegasnya, adalah penting untuk meningkatkan produktiviti industri minyak kelapa sawit pada masa kini.  Hal ini kerana dalam masa setahun, bagi kawasan sehektar luasnya,  industri ini sebenarnya mampu menghasilkan sejumlah lapan tan minyak kelapa sawit mentah, (Crude Palm Oil, CPO).

Namun disebabkan tenaga buruh yang ada kini tidak mencukupi serta pengurusan yang kurang baik, Malaysia hanya  mampu menghasilkan empat tan CPO bagi setiap hektar tanaman kelapa sawit.

PenubuhanYayasan Tan Sri Lee Shin Cheng untuk memenuhi keperluan CSR IOI Corp

Pesanannya bagi pembaca, “menerusi pengalaman, saya merasakan bahawa pendidikan sangat penting dalam kehidupan seseorang.  Oleh itu, saya banyak memberi tumpuan kepada perkembangan pendidikan sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami.

“Selain itu, tekad juga sangat penting. Kita tidak boleh putus asa tentang impian kita. Sekiranya kita bekerja keras, suatu hari nanti kita akan berjaya  mencapai impian atau matlamat kita,” jelasnya menutup perbualan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close