AntarabangsaIsu Semasa

Hina Lagu Kebangsaan, Penjara 3 Tahun Menanti

Bulan November lepas, China telah melakukan pindaan ke atas undang-undang jenayahnya yang meningkatkan hukuman penjara daripada 15 hari ke 3 tahun ke atas mana-mana individu yang menghina lagu kebangsaannya.

Baru-baru ini, Hong Kong juga mengumumkan rancangan yang sama berikutan campur tangan  dan tekanan Beijing terhadap bandar berautonomi itu mengenai cara-cara untuk menyanyi lagu kebangsaan dengan “cara yang betul”.

Memetik laporan Straits Times, orang ramai juga dilarang untuk menyanyikan lagu berkenaan dalam sebarang majlis keramaian, perkahwinan dan juga pengebumian.

Difahamkan, China mendesak undang-undang ini dilaksanakan apabila para penyokong bola sepak di Hong Kong mengutuk lagu kebangsaannya setiap kali ia dimainkan dalam perlawanan bola sepak sejak bertahun-tahun dahulu.

Penyokong bola sepak membelakangkan diri ketika lagu kebangsaan dimainkan – Sumber: Reuters

Ketika perlawanan juga, penyokong telah membelakangkan diri ketika dendangan lagu kebangsaan dan mempamerkan banner yang menuntut kemerdekaan Hong Kong semasa segelintir aktivis menyeru agar bandar itu berpisah dengan Tanah Besar China, sekali gus mencetuskan kemarahan Beijing.

Selain daripada hukuman penjara tiga tahun, individu yang didapati bersalah juga akan dikenakan bayaran denda sebanyak HK$ 50,000 (RM24,898).

Sesiapa sahaja yang mengubah lirik lagu kebangsaan juga akan dianggap melakukan perbuatan yang menghinanya.

Sementara itu, pengkritik menyifatkan langkah ini sebagai penyekat hak kebebasan bersuara penduduk Hong Kong.

Menurut Claudia Mo, seorang anggota parlimen pro-demokrasi, ia merupakan “senjata psikologi untuk mencabar (orang ramai) untuk mengutuk lagu kebangsaan” dan juga menyebabkan penduduk rasa diri mereka “lebih sebagai penduduk China berbanding Hong Kong.”

Dalam pada itu, pemimpin Hong Kong akan menetapkan majlis-majlis yang diwajibkan untuk menyanyi lagu kebangsaan berkenaan.

Guru-guru di sekolah rendah dan menengah turut diwajibkan untuk mengajar para pelajar menyanyikan lagu itu dan “memahami sejarah serta semangatnya.”

Undang-undang ini juga hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di parlimen. Anggota-anggota parlimen akan mengadakan perbincangan mengenai pindaan itu pada 23 Mac nanti.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker