Isu SemasaTempatan

Ini Dia Kepentingan Haiwan Supaya Manusia Boleh Terus Hidup

Memelihara alam sekitar kini bukan hanya angan-angan mat jenin. Ia merupakan sesuatu yang penting bagi ekonomi, kebudayaan dan ekologi kita.

Menurut penulisan Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, orang awam juga semakin memahami proses pemuliharaan dan para pembuat dasar turut mengambil langkah proaktif dalam proses ini kerana alam sekitar di sekeliling kita telah memberi pelbagai kemudahan semula jadi yang tidak dapat ditandingi. Ini termasuk proses pendebungaan, kawalan perosak, jaminan makanan, ubatan dan pengurangan jangkitan wabak.

Sebagai contoh dalam proses pendebungaan, kebanyakan makanan dan tumbuhan di dunia ini bergantung kepada kelawar, burung, lebah dan rama-rama untuk membantu proses tersebut. Ia juga penting untuk memastikan kelangsungan makanan terjamin untuk manusia.

Selain daripada membantu proses pendebungaan, kelawar juga membantu memastikan jaringan makanan dalam sesuatu kawasan itu stabil apabila mereka memakan serangga yang merosak tanaman. Ini dapat membantu pengurangan penggunaan racun serangga, penyebaran malaria, demam denggi dan pelbagai penyakit lain.

Kesedaran seperti ini perlu dihebahkan kerana ia juga mempengaruhi industri pelancongan global yang berjumlah berbilion dolar.

Haiwan adalah salah satu ciptaan Tuhan yang agung dan mereka sebenarnya turut menyumbang kepada ekonomi. Dalam sektor pelancongan, sebanyak 1.1 bilion pelancong pada tahun 2014 adalah dari ekopelancongan yang melibatkan pemerhatian haiwan liar.

Malaysia pula merupakan di antara negara yang mempunyai kepelbagaian haiwan yang tinggi dengan spesies endemik yang banyak. Salah satu perkara yang membuat rantau kita dikenali dan dikunjungi oleh ekopelancong ialah kerana kewujudan segitiga terumbu karang dan kawasan SundalandĀ yang dihuni oleh gajah, monyet, orang utan, harimau, tapir dan badak sumbu.

Oleh sebab ini juga, Malaysia menerima kunjungan daripada 25 juta pelancong setiap tahun.

Sebuah kajian telah mendapati haiwan liar boleh menjana pendapatan dengan lebih banyak selama ia hidup berbanding mati. Contohnya, seekor ikan pari manta boleh dijual pada harga RM2000 untuk daging dan insangnya manakala ikan yang hidup boleh menyumbang sehingga beberapa juta ringgit.

Oleh yang demikian, untuk memelihara khazanah negara, kita tidak harus berdiam diri dan melaksanakan pelan tindakan hanya di dalam negara tetapi kita juga perlu membuat jaringan dengan pertubuhan global.

Terdapat lima persidangan antarabangsa yang menangani isu kepelbagaian biologi ini danĀ Malaysia merupakan anggota kepada empat daripada lima persidangan ini :

  1. The Convention on Biological Diversity
  2. The World Heritage Convention
  3. The Ramsar Convention on Wetlands
  4. The Convention on International Trade in Endangered Species
  5. Convention on the Conservation of Migratory Species of Wild Animals (CMS).

Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES) yang turut dipengurusikan oleh Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid telah mengeluarkan laporan berkaitan pendebunga di Kuala Lumpur pada tahun 2016. Laporan tersebut telah menggalakkan pelbagai pihak untuk memulakan langkah memulihara alam sekitar. Ini termasuk pihak Bangsa-bangsa Bersatu yang telah mengisytiharkan 20 Mei sebagai hari lebah sedunia baru-baru ini.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close