AntarabangsaIsu Semasa

Facebook “Main Peranan” Menyebar Kebencian Terhadap Rohingya?

Baru-baru ini, kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa bahawa gergasi media sosial, Facebook (FB) telah memainkan “peranan besar” penyebaran kebencian ke atas etnik minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Memetik laporan Independent UK, pihak penyiasat menyifatkan Facebook sebagai ‘raksasa’ di negara itu, yang menyaksikan lebih daripada 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak kerajaan Myanmar melaksanakan operasi ketenteraan pada Ogos lepas.

Menurut Yanghee Lee, wakil penyiasat PBB di Myanmar, media sosial itu juga menjadi sebahagian besar daripada kehidupan seharian rakyat Myanmar, di mana kerajaan turut menggunakannya sebagai platform untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam.

“Di Myanmar, segala perkara dilakukan menerusi Facebook,” kata Lee.

Tidak dinafikan bahawa laman sesawang itu digunakan untuk bantu dalam pembangunan negara tersebut, namun ia juga disalahgunakan secara meluas untuk menyebarkan ucapan-ucapan berbaur kebencian.

Ujar beliau, golongan pelampau Buddha juga mempunyai akaun Facebook tersendiri, dan mereka turut mencetuskan kebencian dan keganasan bukan sahaja terhadap Rohingya, tetapi kepada etnik minoriti lain juga.

“Saya rasa Facebook kini sudah menjadi raksasa, bercanggah dengan matlamat asal mereka,” tambahnya.

Walau bagaimanapun syarikat itu menegaskan bahawa platformnya tidak akan berkompromi dengan sentimen kebencian dan keganasan.

“Kami mengambil serius hal ini dan telah bekerjasama dengan pakar-pakar di Myanmar selama beberapa tahun untuk mewujudkan sistem keselamatan dan kempen anti-kebencian,” kata seorang jurucakap Facebook.
Usaha tersebut termasuk penubuhan laman keselamatan khas untuk Facebook versi Myanmar, dan juga sesi latihan bagi masyarakat sivil dan komuniti tempatan di seluruh negara.
Namun begitu, puak-puak pelampau dilihat masih berani dan bebas melakukan aktiviti kebencian tanpa sekatan dan tiada sebarang tindakan yang diambil ke atas mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button