AntarabangsaIsu Semasa

‘Perang Media’ Rusia Dan UK

Hubungan di antara United Kingdom (UK) dan Rusia kini semakin tegang susulan tindakan Moscow yang didakwa cuba membunuh seorang bekas perisiknya, Sergei Skripal serta anak perempuan beliau di Britain dengan menggunakan racun agen saraf.

Agen saraf tersebut dilihat serupa seperti yang digunakan dalam pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada tahun lepas di KLIA 2, Malaysia.

Berang dengan Rusia, kerajaan UK mengugut untuk menutup cawangan syarikat media Russia Today (RT) yang beroperasi di negara itu.

Namun begitu, Moscow memberi ‘serangan balas’ dengan mengancam untuk mengharamkan semua syarikat media British di sana sekiranya UK bertindak sedemikian.

Memetik laporan Independent UK, sebuah badan perundangan Britain yang dikenali sebagaI Ofcom, bercadang untuk melarang RT daripada memperbaharui lesen operasinya.

Ofcom bertanggungjawab dalam menjaga peraturan penyiaran di Britain, dan antara tugasan berterusannya adalah untuk memastikan pemegang lesen media adalah dari kalangan organisasi yang “bagus dan layak.”

Oleh itu, jurucakap kementerian luar Rusia Maria Zakharova menegaskan: “seseorang tidak patut mengugut sebuah kuasa nuklear,” menurut satu lagi organisasi berita tempatan, RIA.

Difahamkan, RT merupakan rangkaian berita yang dibiayai oleh kerajaan pimpinan Presiden Vladimir Putin.

RT, yang mempunyai 8 saluran televisyen, menyatakan bahawa pihaknya tidak bersetuju dengan pendirian Ofcom dalam isu ini.

“Syarikat penyiaran kami tidak berubah dan sentiasa konsisten dari semasa ke semasa, dan terus mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan menghubung kaitkan RT dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan menunjukkan bahawa Ofcom mencampuradukkan peranannya sebagai pemantau media dengan isu-isu berkaitan negara,” kata RT dalam sebuah kenyataan.

Ujar stesen berita itu lagi, ia menyiarkan berita khusus untuk penonton yang berfikiran kritikal.

Beroperasi di lebih 100 buah negara serata dunia, RT membuat liputan tentang berita-berita yang dilepas pandang oleh media arus perdana.

Ia juga menyediakan perspektif alternatif dalam isu-isu semasa, termasuk turut memberi pandangan peribadi Rusia mengenainya.

Sementara itu, Ofcom berkata, pihaknya akan melaksanakan siasatan dan penilaian bebas dalam menentukan status RT di Britain selepas ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker