Gaya HidupKesihatan

Setelah 25 Tahun Baru Tahu Menghidap Muscular Distrophy

Penulis tahu dari kecil dirinya berbeza daripada orang lain. Berbeza yang macammana anda tanya?

Dari kecil lagi, dia mendapati dirinya sukar berlari bersama-sama kanak lain, jika berlari atau berjalan dia mudah terjatuh ataupun tergelincir.

Ibu dan nenek penulis pernah berkata, dia lambat memulakan langkah pertamanya semasa bayi.

Sepanjang membesar penulis jarang menyertai aktiviti sukan sekolah. Dia juga pernah beberapa kali dibawa berjumpa tukang urut tradisional supaya boleh bergerak seperti kanak-kanak lain namun tidak berjaya.

‘NAMPAK LAIN’

Yang paling ketara adalah cara penulis berjalan, hal ini membuatkan dia sering menjadi mangsa ejekan kanak-kanak lain.

Ciri fizikal yang berbeza pada penulis adalah tubuh kanan penulis kelihatan lebih kecil serta berasa lebih lemah daripada yang sebelah kiri.

Usai peperiksaan UPSR, ibunya telah membawanya ke sebuah hospital berdekatan dengan rumahnya.

Setelah menyuruh penulis membengkokan badannya dan kelihatan seperti si doktor telah menjalankan pemeriksaan yang sepatutnya, si doktor dengan selamba berkata “Ini bukan apa-apa, ia tidak akan memberi kesan pada adik ini”

Buntu mendengar apa yang telah diberitahu doktor, ibunya telah membawanya pulang ke rumah tanpa jalan penyelesaian.

Melangkau 13 tahun ke hadapan, penulis yang ketika itu sedang menuntut di salah sebuah IPTA di ibu kota, sudah beberapa bulan mengalami rasa sakit di tapak kaki kanannya.

Mengambil peluang status dirinya sebagai pelajar, dia telah menggunakan perkhidmatan panel hospital yang ditawarkan IPTA tersebut untuk  mendapatkan rawatan bagi ‘membetulkan’ kakinya.

Antara diagnosis awal yang diterima adalah dirinya penghidap polio. Namun, pegawai perubatan tersebut telah menarik balik diagnosisnya serta mengarang surat rujukan bagi penulis untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di sebuah hospital pakar yang terletak di tengah-tengah ibu kota.

Perbandingan otot yang normal serta yang menghidap muscular distrophy

Beberapa minggu selepas temujanji dibuat, penulis akhirnya tiba di Jabatan Ortopedik di sebuah hospital. Penulis telah tiba di sana seawal 9 pagi. Melihat akan keadaan bilik menunggu yang sesak dengan ramai orang, penulis tahu paling awal dia boleh mendapatkan rawatan adalah dalam 4 atau 5 jam lagi.

Sementara menunggu, kelihatan berbagai-bagai individu yang lalu-lalang di hadapan penulis. Ada yang tua dan ada yang muda, mereka juga terdiri daripada berbagai-bagai etnik. Ada yang kecacatannya jelas kelihatan dan ada yang tersorok.

Yang paling terukir di ingatan penulis kelihatan seorang lelaki yang mungkin sudah mencecah suku abad, yang mana salah satu kakinya terlalu kurus (seperti tulang) sehingga tidak boleh menampung bahagian atas tubuhnya. Malah terpaksa bergerak menggunakan alat bantuan untuk membantu dia bergerak.

Tepat tekaan penulis,  hanya selepas jam 1 dia dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan. Pada mulanya, penulis diminta menceritakan sejarah penyakit dan keadaannya.  Doktor ‘junior’ yang memeriksa agak terkejut penulis tidak pernah menerima imbasan X-ray untuk memastikan keadaan kesihatannya.

Mula-mula kekuatan tangan penulis didiagnosis, kemudian kaki pula digodek-godek serta dicucuk dengan kunci kereta (ye kunci kereta!!) sebelum kedua-dua belah kakinya diukur panjang pendeknya.

Hanya untuk menerima jawapan yang sebegini daripada seorang doktor pakar “There’s nothing we can do, you have been walking this way for 25 years. Tapi kami boleh betulkan bahagian yang sakit itu menggunakan pembedahan atau ubat-ubatan”.

Diagnosis mereka adalah penulis mengalami muscular dystrophy ringan. Yang bermaksud gangguan otot pada tahap yang tidak serius.

Menurut laman web Mayoclinic, muscular dystrophy adalah sejenis penyakit yang menyebabkan kelemahan dan kehilangan jisim otot secara beransur-ansur. Bagi penyakit ini, gen tidak normal (termutasi) mengganggu penghasilan protein yang diperlukan untuk membentuk otot yang sihat.

Pesakit menghidap muscular dystrohy

Antara gejala-gejalanya adalah kesukaran untuk melompat dan berlari serta sering jatuh-jatuh. Walaupun penyakit ini tidak boleh dipulihkan namun gejalanya boleh dikurangkan menggunakan terapi dan ubat-ubatan.

Penulis sebenarnya agak kecewa dengan keputusan doktor pakar tersebut yang memilih untuk tidak merawatnya, namun memahami keadaan bahawa ramai lagi pesakit dengan penyakit yang lebih serius yang mungkin memerlukan bantuan doktor pakar di hospital kerajaan.

Mungkin bila keadaan kewangan penulis sudah stabil, penulis boleh membayar sendiri untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Namun, buat masa sekarang, penulis menerima keadaan dirinya seadanya serta mensyukuri bahawa dia masih boleh bergerak tanpa kerusi roda atau alat bantuan lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker