AntarabangsaIsu Semasa

Korea Utara Akan Hentikan Program Nuklear, Tetapi Dengan “Syarat”

Kedua-dua pemimpin Korea Selatan dan Utara bakal bertemu pada sidang kemuncak bersejarah yang akan diadakan di Kawasan Bebas Tentera (Demitilarized Zone) pada bulan depan.

Pertemuan ini dipersetujui Pyongyang apabila rejim itu menawarkan untuk menghentikan program nuklearnya, tetapi dengan syarat tertentu.

Menurut penasihat keselamatan Seoul, Chung Eui-yong, Korea Utara hanya akan melepaskan program senjatanya dengan syarat keselamatan negara dan kepimpinannya terjamin dilindungi daripada sebarang ancaman.

 

KOREA UTARA BERPOTENSI DICEROBOH AS

Sejak Perang Korea tamat menerusi gencatan senjata pada tahun 1953 lagi, Pyongyang menganggap dirinya berpotensi/berisiko untuk menjadi ‘mangsa pencerobohan’ Amerika Syarikat (AS).

Tetapi, Chung berkata, negara pimpinan Kim Jong-un itu bersetuju untuk berbincang mengenai denuklearisasi bersama Washington – satu langkah penting bagi membolehkan sesi dialog dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, AS sebaliknya turut menetapkan syarat kepada Korea Utara, di mana negara itu perlu sekurang-kurangnya menggantung program nuklear mereka terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan lanjut.

 

TIADA PROVOKASI SEPANJANG DIALOG

Memetik laporan The Star, persidangan kemuncak yang akan berlangsung pada bulan depan ini bakal menandakan pertemuan ketiga di antara pemimpin Korea Selatan dan Utara.

Sebelum ini, kedua-dua negara pernah mengadakan persidangan di Pyongyang pada tahun 2000 dan 2007.

Chung berkata, Korea Utara menyatakan dengan jelas bahawa tiada sebab negara itu untuk memiliki senjata nuklear sekiranya ancaman ketenteraan asing terhadap mereka dihapuskan sekali gus menjamin keselamatan rejim itu.

Pyongyang juga menunjukkan kesanggupan dan keterbukaan mereka untuk mengadakan dialog bersama AS bagi membincangkan isu denuklearisasi serta memulihkan hubungan Korea Utara – Amerika.

Dalam pada itu, rejim tersebut memberi jaminan bahawa mereka tidak akan mencetuskan sebarang provokasi (seperti melancarkan ujian nuklear atau peluru berpandu) sepanjang dialog tersebut.

“Pihak Utara turut berjanji untuk tidak menggunakan senjata atom atau senjata konvensional terhadap Selatan,” ujar Chung, sambil menambah bahawa Seoul dan Pyongyang akan menubuhkan satu talian atau hotline khas di antara kedua-dua pemimpinnya.

 

MENJADI ORANG TENGAH KEPADA PYONGYANG DAN WASHINGTON TUGAS YANG “MENCABAR”

Minggu lepas, Korea Selatan, yang berperanan sebagai orang tengah, telah menghantar wakil-wakil ke Washington untuk memberi taklimat kepada pegawai-pegawai AS mengenai hasil perbincangannya bersama Pyongyang.

Namun, usaha ini menyaksikan cabaran yang tinggi memandangkan Presiden Donald Trump dan Jong-un kerap mengadakan ‘perang mulut’ yang ternyata meningkatkan lagi ketegangan di antara satu sama lain.

Walaupun ancaman perang di antara mereka dilihat seperti ‘bahan lawak’ bagi sesetengah pihak, ia sebenarnya amat membimbangkan kerana peperangan berpotensi untuk meletus pada bila-bila masa, sekiranya keadaan tidak terkawal.

Jadi, adakah Korea Utara dan AS akan mencapai kata sepakat yang mungkin membawa kepada denuklearisasi Pyongyang?

Dan adakah keselamatan rejim Jong-un akan terjamin sekiranya mereka benar-benar menghentikan terus program nuklearnya? Kita tunggu dan lihat.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker