AntarabangsaIsu Semasa

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (MJEPA)

Malaysia dan Jepun telah mula mewujudkan hubungan diplomatik sejak Perdana Menteri Jepun terdahulu,  , Kishi Nobusuke mengadakan lawatan di negara ini pada 24 dan 25 November 1957 lagi.

Lawatan Nobusuke itu juga menjadikan beliau perdana menteri asing pertama untuk datang ke Persekutuan Tanah Melayu selepas negara meraih kemerdekaan pada 31 Ogos.

Sejak itu, kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan yang kukuh sehingga ke hari ini.

 

PERJANJIAN PERKONGSIAN EKONOMI MALAYSIA-JEPUN (MJEPA)

Pada 13 Disember 2005, Malaysia dan Jepun telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (MJEPA), yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia yang pertama dilaksanakan.

Bagi negara Jepun pula, ia adalah FTA yang ketiga selepas Singapura dan Mexico.

Menurut portal rasmi MITI, berikut adalah antara perkara yang tertakluk di bawah MJEPA:

1. Perdagangan barangan industri dan pertanian

2. Perdagangan perkhidmatan

3. Pelaburan

4. Peraturan Tempasal

5. Prosidur Kastam

6. Piawaian 

7. Harta Intelek

8. Dasar Pesaingan

9. Peningkatan Persekitaran Perniagaan

10. Langkah-Langkah Perlindungan Perdagangan

11. Penyelesaian Pertikaian

Sementara itu, kerjasama dalam tujuh bidang khusus turut dipertingkatkan lagi menerusi perjanjian ini iaitu pertanian, perhutanan, perikanan dan perladangan, pendidikan dan pembangunan sumber manusia, teknologi dan komunikasi, sains dan teknologi, perusahaan kecil dan sederhana, serta pelancongan dan alam sekitar.

Di bawah MJEPA juga, Malaysia dan Jepun akan mengurangkan atau menghapuskan tarif ke atas barangan industri dan pertanian masing-masing secara progresif.

 

PERJANJIAN PERKONGSIAN EKONOMI KOMPREHENSI ASEAN JEPUN (AJCEP)

Pada tahun 2007 pula, kedua-dua negara telah memuktamadkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP).

AJCEP memainkan peranan sebagai pelengkap MJEPA, dan ia juga menggalakkan lagi negara Jepun untuk mengkhususkan rangakaian pengeluaran mereka di negara-negara Asean yang lain.

Difahamkan, Jepun merupakan rakan dagang utama ASEAN pada tahun 2006 yang mencatatkan nilai perdagangan sebanyak AS $163 juta (RM 636.5 juta), yang juga merangkumi 11.9% perdagangan blok itu secara keseluruhan.

Sehubungan dengan itu, AJCEP bukan sahaja meningkatkan eksport Malaysia ke Jepun, tetapi juga ke negara-negara rantau ASEAN.

90% sehingga 93% produk Malaysia di rantau ini yang memasuki Jepun juga tidak dikenakan sebarang tarif, dan langkah ini meningkatkan aktiviti perniagaan dan pelaburan yang memasuki ASEAN dari Jepun.

 

PENUBUHAN MJIUT

Selain daripada perjanjian perdagangan, inisiatif ini turut meliputi usaha penubuhan Universiti Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIUT) di Kuala Lumpur, yang mula beroperasi pada bulan September 2011.

MJIUT menggunakan kaedah pembelajaran seperti yang dilaksanakan di universiti-universiti terkemuka di Jepun, yang memberi tumpuan utama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Selain daripada pengajian akademik, para pelajar juga didedahkan dengan cara pemikiran dan budaya penduduk Jepun yang berdisiplin, teratur, dan bersopan santun.

Dalam pada itu, penubuhan universiti tersebut juga adalah kesinambungan daripada hubungan erat yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak kerajaan Malaysia melancarkan Dasar Pandang Ke Timur hampir empat dekad lalu.

 

HUBUNGAN MALAYSIA-JEPUN ABAD KE-21

Memetik laporan Sinar Harian, keadaan ekonomi global dan perkembangan terkini di kedua-dua negara telah membuka laluan ke arah kerjasama yang lebih komprehensif di dalam sektor-sektor seperti pembiayaan kewangan Islam, industri halal, pelancongan dan juga teknologi hijau.

Jepun kekal sebagai rakan ekonomi utama Malaysia sejak tiga dekad lalu memandangkan negara kita mempunyai lokasi strategik, persekitaran pelaburan kondusif, peluang pasaran, kos kompetitif dan rasionalisasi perkhidmatan awam, antaranya.

Pada tahun 2014, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun pada tahun 2014, direkodkan bernilai AS$42 bilion (RM138 bilion), iaitu ketiga terbesar selepas China dan Singapura.

Tahun 2015 pula mencatatkan AS $32.46 bilion (RM 126.27 bilion) diikuti AS $28.98 bilion (RM 120.26 bilion) pada tahun berikutnya.

Walaupun jumlah keseluruhan perdagangan menyaksikan penurunan sebanyak 4.8% antara tahun 2015-2016, Jepun masih muncul sebagai pelabur terbesar berdasarkan komitmen pelaburan yang diluluskan daripada syarikat-syarikat Jepun pada tahun 2014-2016.

Bagi tahun 2016 juga, Malaysia merupakan rakan dagang ke-10 yang terbesar untuk Jepun.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker