AntarabangsaBisnes & Ekonomi

China Akan Menjadi “Gergasi Ekonomi” Menjelang 2050

China berhasrat untuk menjadi gergasi ekonomi dan perdagangan menjelang tahun 2050, yang merupakan sebahagian daripada rancangan negara itu untuk meluaskan pengaruhnya di seluruh dunia.

“Kami sudah besar, tetapi masih belum cukup kuat. Matlamat kami adalah untuk menstabilkan kedudukan sebagai negara perdagangan yang besar pada tahun 2020, kemudian menjadi lebih kuat pada 2035, dan akhirnya menjadi gergasi ekonomi dan perdagangan menjelang 2050,” kata Menteri Perdagangan, Zhong Shan.

Kini, China berada di tangga kedua dari segi kuasa ekonomi, dan negara itu juga menjadi rakan dagang yang terbesar bagi kebanyakan negara di pentas antarabangsa.

Memetik laporan Straits Times, Zhong menyatakan bahawa negaranya sudah menyediakan rancangan untuk meningkatkan inovasi dalam pelaburan antarabangsa, efisiensi/keberkesanan dalam bantuan asing, meningkatkan kerjasama di bawah Belt and Road Initiative (BRI), serta mengukuhkan lagi perdagangan multilateral mereka bersama negara-negara lain.

Dalam pada itu, perniagaan-perniagaan China juga akan digalakkan untuk membawa masuk e-dagang, data besar, pengkomputeran cloud dan perkhidmatan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) ke dalam negara-negara luar serta mewujudkan laluan perdagangan BRI bagi membantu mereka menubuhkan ekonomi digital.

Tahun lepas, pelaburan langsung asing China mencatatkan penurunan sebanyak 29.4%, bersamaan AS$ 120 bilion (RM 468 bilion) apabila kerajaan membanteras pelaburan berunsur spekulasi dalam hartanah, sukan dan hiburan.

Sebuah lagi inisiatif utama yang akan membolehkan China untuk memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan global adalah China International Import Expo yang akan diadakan buat pertama kali di Shanghai.

Menurut Zhong, ekspo tersebut membuktikan keazaman negara itu untuk membuka pasaran mereka dengan aktif kepada dunia.

Beliau menyifatkan langkah ini sebagai “tindakan praktikal” dalam usaha menyokong globalisasi ekonomi dan liberalisasi perdagangan.

“Kesungguhan dan keyakinan untuk membuka (pasaran) kepada dunia luar mencerminkan keyakinan dantanggungjawab China dalam era baru ini,” katanya.

Difahamkan, lebih daripada 60 negara maju, negara membangun, dan negara yang paling kurang membangun telah mendaftar untuk menyertai ekspo berkenaan.

“Kami akan menyediakan bantuan dan sokongan kepada negara serta syarikat yang terlibat,” ujar Zhong sambil menambah bahawa negara-negara yang paling kurang membangun juga akan terkecuali daripada membayar yuran penyertaan.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker