Politik

Isu Utama Pengundi Menjelang PRU14

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, isu utama yang dibangkitkan adalah berkenaan kos sara hidup, jenayah, rasuah, perkauman, agama, pemerintah dan wilayah. Kebanyakan isu ini akan kembali dalam PRU14.

Perdana Menteri berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 akan menjadi “ibu kepada semua pilihan raya”. Hasilnya akan memberi kesan besar kepada masa depan politik negara.

Kos Sara Hidup

Beberapa kaji selidik telah menilai kos sara hidup dan faktor ekonomi sebagai salah satu isu paling penting yang dihadapi ramai pengundi. Kebimbangan mengenai pekerjaan dan pengangguran serta peningkatan kos perumahan dan pengangkutan adalah isu utama dalam kalangan ramai pengundi.

Pengundi Bandar

Bagi pengundi bandar, akses ke universiti dan pendidikan tinggi yang berpatutan merupakan salah satu isu utama yang menjadi perhatian mereka.

Isu-isu lain yang menjadi keutamaan pengundi bandar adalah berkaitan dengan hak asasi manusia, seperti kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun. Polarisasi perkauman juga menjadi kebimbangan mereka selain isu tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan serta keadilan sosial.

Pengundi Cina

Pada pilihan raya lepas, DAP memenangi antara 85% dan 90% undi kaum Cina. Bolehkah ia mengekalkan tahap sokongan yang tinggi ini?

Walaupun majoriti pengundi Cina kekal dengan Pakatan Harapan, kemungkinan kecil 10% hingga 15% beralih kepada MCA dan Gerakan sekaligus boleh memberikan MCA dan Gerakan kemenangan lima hingga 10 lagi kerusi.

Sebaliknya, sesetengah penganalisis merasakan undi kaum Cina tidak akan berubah dan DAP akan mengekalkan semua kerusi yang dimenangi pada tahun 2013. Tetapi DAP telah memenangi hampir semua majoriti kerusi Cina di negara ini kecuali mungkin dua atau tiga kerusi, menjadikannya agak mustahil untuk parti itu memenangi lebih banyak lagi.

Walau apa pun sentimen pengundi bandar, faktor penentu dalam PRU akan datang adalah kerusi Melayu luar bandar.

Pengundi Luar Bandar

Bagi pengundi luar bandar, kedudukan orang Melayu, Raja-Raja dan status Islam terus menjadi isu penting. Kaum, agama dan pemerintah akan menjadi isu utama bagi pengundi Melayu walaupun isu ini mungkin kurang penting bagi orang Melayu bandar.

Meningkatkan taraf hidup pengundi luar bandar juga penting. Mengatasi kemiskinan luar bandar perlu ditangani dan akan menjadi strategi pilihan raya utama bagi kedua-dua belah parti politik. Isu-isu pembangunan dan pekerjaan adalah kebimbangan penting bagi pengundi luar bandar.

Ketakutan pengundi luar bandar terhadap potensi kehilangan pengaruh politik Melayu adalah satu lagi isu, dan ini mungkin memihak kepada Umno kerana parti itu secara tradisinya dianggap sebagai pelindung hak orang Melayu.

Pengundi Muda

Bagi pengundi muda pula, isu utama adalah pekerjaan dan peluang pekerjaan, pendidikan dan biasiswa, perumahan yang mampu dimiliki serta kos sara hidup. Bagi pengundi bandar muda, hak asasi manusia dan keadilan sosial menjadi keutamaan mereka.

Kempen #undirosak dalam media sosial di kalangan pengundi muda boleh menyebabkan pembangkang kehilangan undi jika mereka memilih untuk memboikot PRU14 atau merosakkan undi. Media sosial dan berita palsu akan turut mempengaruhi pengundi muda.

Ia diunjurkan bahawa Barisan Nasional mempunyai undi yang kukuh antara 36% hingga 38%, Pakatan Harapan antara 30% dan 35% dan PAS antara 8% dan 10%. Justeru, PRU14 akan ditentukan oleh pengundi yang belum membuat keputusan iaitu antara 20% ​​hingga 30%. – The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker