Isu SemasaTempatan

Banyak Restoran Terpaksa Ditutup Akibat Kekurangan Pekerja

Tahun lepas sebanyak 2,000 kedai kopi Cina dan 400 restoran India-Muslim serta restoran nasi daun pisang telah menghentikan operasi mereka.

Memetik laporan The Star, Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCP), Persatuan Pemilik Restoran India (Primas) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), juga telah menghantar satu memorandum bersama kepada kerajaan untuk merujuk kepada perkara ini dengan segera.

Presiden MSCP, Ho Su Mong berkata 10% hingga 15% daripada 20,000 ahlinya di seluruh negara telah menutup kedai mereka tahun lepas.

Beliau berkata keadaan itu telah menjadi lebih teruk apabila beribu-ribu pekerja asing yang pulang ke negara mereka untuk Tahun Baru Cina masih belum kembali ke Malaysia.

“Ini bermakna kami melihat lebih banyak perniagaan ditutup kerana prosedur untuk mengambil semula pekerja telah di buat lebih rumit dan ketat,” katanya.

Ho berkata ahli MSCP juga menghadapi banyak tekanan daripada syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk mengambil pekerja asing.

“Pemilik kedai kopi Cina akan teruk terjejas jika pihak berkuasa tidak melihat pekerja asing sebagai  sebahagian daripada operasi mereka,” katanya.

Setiausaha agung Primas, T. Thanabalan berkata banyak restoran daun pisang dijangka ditutup tahun ini kerana mereka perlu menggantikan pekerja asing mereka.

Masalah mendapatkan kelulusan pekerja asing masih belum diselesaikan selama tiga tahun.

Tambahnya lagi, peraturan ketat tidak memihak kepada kedai-kedai kecil kerana mereka tidak dapat memenuhi semua syarat yang diperlukan kerajaan.

Dengan kekurangan pekerja, kebersihan restoran juga telah terjejas dan hal ini telah menyebabkan pelbagai isu lain seperti saman daripada majlis perbandaran tempatan.

Thanabalan menegaskan antara restoran yang terjejas adalah milik rakyat Malaysia dan telah ditubuhkan sejak sekian lama.

“Kami bukan seperti francais gergasi antarabangsa yang boleh menghentikan operasi dan menumpukan perniagaan mereka di negara lain jika sukar untuk mendapatkan tenaga kerja di sebuah lokasi,” katanya.

Thanabalan berkata memorandum bersama ini telah dihantar dengan harapan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dapat campur tangan dan menyelesaikan masalah ini.

“Kami berada dalam keadaan terdesak dan satu-satunya jalan keluar adalah untuk menghentikan operasi. Suatu hari nanti, restoran tradisional mungkin tidak akan wujud lagi di negara ini.” katanya.

Presiden Presma Ayub Khan bersetuju dengan sentimen itu dan berkata persatuannya juga menjangkakan lebih banyak restoran India-Muslim ditutup pada tahun ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker