Hiburan

KL Special Force Calon ‘Box-Office’ 2018

KL Special Force, buah tangan terbaru dari pengarah muda, Syafiq Yusof, yang terkenal dengan filem-filem aksi, telah pun menemui penonton di pawagam. Filem ini diyakini akan mendapat sambutan hangat dan berpotensi mengungguli carta box-office.

Dengan kutipan sekitar RM900,000 pada hari pertama tayangan, Syafiq dijangka akan memecahkan rekod box-office miliknya sendiri menerusi filem terakhir arahannya, Abang Long Fadil 2, yang berjaya mengumpul hampir RM18 juta pada tahun lepas, menjadikan karya itu sebagai filem Malaysia paling laris sehingga kini.

KL Special Force, filem aksi kepolisan yang penuh dengan babak mencemaskan, mengisahkan tentang pegawai polis bernama Roslan (Datuk Rosyam Nor) yang ditugaskan untuk menghentikan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Anarkis.

Roslan dibantu oleh skuad polis bersenjata di belakangnya tetapi kekebalan Geng Anarkis yang mempunyai bekalan senjata api dan bahan peledak, tidak mampu ditandingi mereka. Kumpulan penjenayah itu juga sentiasa mengalahkan polis dalam setiap pertempuran.

Geng Anarkis dipimpin oleh Ashraff (Syamsul Yusof) yang tidak gentar menonjolkan identitinya di hadapan polis.

Suspek utama Roslan adalah Ashraff, manakala bos Roslan – Superintendan Azmi (Shaharuddin Thamby) mengarahkan Zul (Fattah Amin) untuk mengintip inspektor polis berkenaan kerana diragui bekerjasama dengan Ashraff.

Apabila tindak-tanduk Zul penuh mencurigakan, Roslan pula berfikir Zul bersekongkol dengan Ashraff. Bagaimanakah pasukan polis itu akan menangkap penjahat sedangkan mereka sendiri mengesyaki antara satu sama lain?

Jika anda peminat tegar filem aksi tanpa henti, maka KL Special Force adalah pilihan filem tempatan yang paling tepat untuk anda.

Aksi dalam filem ini bermula dari awal, dengan babak pembukaan mendebarkan yang memaparkan Roslan memanggil sekumpulan perompak bank ‘bodoh’. Kemudian anda akan disajikan dengan adegan letupan kereta yang tidak berkesudahan, tembakan tanpa henti dan turutan perlawanan yang brutal antara skuad polis dan Geng Anarkis.

Rosyam Nor memberikan persembahan yang cukup memukau manakala aksi Fattah Amin boleh dipuji dalam cara dia melakukan adegan fizikalnya. Seperti filem Hollywood, terdapat adegan di mana Fattah mengejar suspek dengan melompat dari bas ke kereta.

Di sebalik persembahan aksi tanpa henti itu, pengarah Syafiq Yusof mengekalkan ketegangan dalam plot tentang isu kepercayaan. Para penonton akan terpaku ke skrin dan cuba meneka siapakah polis yang sebenarnya membantu Ashraff.

Adakah Roslan? Atau Zul, kerana bapanya memiliki bank yang disasarkan oleh Ashraff? Atau ianya mungkin lelaki IT yang menyelia di bilik pengawasan.

Selain itu, Syafiq juga membawakan moral yang menarik yang membuatkan anda tertanya-tanya jika polis melindungi orang yang betul atau pun tidak.

Sekiranya terdapat satu elemen yang kurang dalam filem ini, yang menjadi masalah dalam kebanyakan filem tempatan setakat ini, adalah cara pembawaan watak-watak wanita.

Watak-watak wanita yang dimainkan oleh Tania Hudson (tunang Zul), Sabrina Ali (isteri Roslan), Puteri Balqis (anak perempuan Roslan) yang berusia 10 tahun dan Liza Abdullah (ibu Ashraff), hanya berperanan sebagai mangsa dan bukannya hero yang turut sama membanteras jenayah.

Kekurangan itu tidak mencacatkan filem ini kerana ia adalah contoh garapan filem aksi sempurna yang penuh debaran dan sepatutnya menjadi penanda aras kepada pembuat filem lain di Malaysia dalam menjamin kepuasan penonton yang semakin bijak memilih genre filem di pawagam.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker