Bisnes & Ekonomi

Kenali Individu Ketiga Terkaya Di Malaysia

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Teh Hong Piow merupakan individu ketiga terkaya di Malaysia. Beliau adalah pengasas dan pengerusi Public Bank Berhad, yang dikenali ramai sebagai salah satu bank paling berjaya di Malaysia serta mempunyai kehadiran di negara-negara lain di rantau ini.

Menurut akhbar The Star, kekayaan Teh telah meningkat sebanyak 6% pada tahun lepas daripada RM20.3 bilion kepada RM21.6 bilion pada tahun 2016. Peningkatan ini ekoran prestasi kewangan Public Bank yang kukuh serta telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.4 bilion pada suku ketiga tahun lalu.

Dalam tempoh sembilan bulan itu juga, Public Bank telah menambah dividennya daripada 26 sen sesaham kepada 27 sen sesaham tahun lalu.

ASAL-USUL TAN SRI DATO’ SRI DR. TEH HONG PIOW

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow dilahirkan ke dalam sebuah keluarga miskin.  Disebabkan keluarganya baru berhijrah  dari China ke Singapura, ayahnya ketika itu dalam keadaan sehelai sepinggang, namun dia mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga dengan menjadi pedagang kecil-kecilan.

Keluarganya merupakan keluarga Cina yang tipikal. Ibubapanya hanya berkomunikasi dengan beliau dan adik-beradik beliau ketika mahu mendisplinkan mereka.  Bapanya berkahwin semula selepas ibunya meninggal ketika dia berusia 6 tahun.

Membesar dalam kemiskinan, semua  pakaian yang dimlikinya diwarisi daripada orang lain. Ketika bersekolah, disebabkan tidak mampu membeli makanan pada waktu rehat beliau selalu membawa bekal roti dari rumah.

Merupakan pelajar yang cemerlang dan pernah memegang jawatan ketua kelas, beliau berniat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang. Dahulu, menjadi seorang peguam merupakan cita-cita yang sangat besar.

Malangnya, cita-citanya terbantut disebabkan keluarganya hanya mampu menampung pengajiannya sehingga ke tahap Cambridge Overseas School Certificate.

LANGKAH-LANGKAH AWAL DALAM INDUSTRI PERBANKAN

Pada usia 20 tahun, beliau mula bekerja sebagai kerani bank di Perbadanan Perbankan Cina Luar Negara Singapura pada tahun 1950 di Kuala Lumpur. Gaji beliau ketika itu hanyalah sebanyak RM130. Namun begitu, dalam masa 5 tahun, beliau telah dilantik memegang jawatan pengurusan.

Individu terkaya di Singapura ketika itu, Tan Sri Khoo Teck Puat (pemilik bank dan hotel) telah mendekati dan meyakinkan beliau untuk menyertai Malayan Banking (kini dikenali sebagai Maybank) di Kuala Lumpur selepas tertarik dengan bakat dan komitmen yang ditunjukkan beliau ketika menjalankan tugas.

Teh kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjayanya di sana untuk peluang kerjaya yang lebih baik di Malayan Banking.  Dalam tempoh 4 tahun beliau bekerja di sana, Tan Sri Dato ‘Sri Dr. Teh Hong Piow telah menjadi Pengurus Besar termuda pada usia 34 tahun.

Impiannya untuk membuka banknya sendiri menjadi kenyataan pada 6 Ogos 1966.

Tidak lama selepas beliau melobi untuk mendapatkan lesen bank itu beliau mendapat maklum balas positif daripada Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin.

Pada usia 36 tahun, beliau berjaya menjadi Pengarah Urusan bank miliknya sendiri yang diberi nama Public Bank (yang bermaksud bank untuk orang awam). Kejayaan ini dikecapi selepas beliau menimba pengalaman selama 6 tahun di Malayan Banking serta mempunyai 16 tahun pengalaman terkumpul dalam industri perbankan.

Public Bank telah memulakan perniagaannya di alamat No.4, Jalan Gereja, Kuala Lumpur dengan bilangan kakitangan sebanyak 32 orang.

Selain menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia, bank itu menawarkan perkhidmatannya kepada berjuta-juta pelanggan merentasi Hong Kong, China, Kemboja, Vietnam, Laos dan Sri Lanka. Beliau memiliki hampir seperempat bank tersebut serta 44% daripada perniagaan insurans LPI Capital.

Di dalam satu sesi bual bicara bersama The Sun Daily, beliau menyatakan terdapat tiga faktor utama menjadi punca kejayaannya.

“Pertama, saya bersyukur bahawa saya berjaya mengharungi apa jua cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanan kerjaya saya dengan bantuan keluarga korporat saya.

“Mereka juga bersemangat serta komited dalam membantu saya mereliasasikan visi saya,” terangnya

Jelasnya lagi, “kedua, saya suka apa yang saya lakukan. Untuk benar-benar berjaya dalam sesuatu perkara, anda mesti berminat akan sesuatu dan biarkan ia menjadi obsesi anda. Public Bank adalah satu-satunya minat saya dalam kehidupan.

“Walaupun bank itu telah berjaya menempah kejayaan, saya akan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan lebih baik baginya.

“Ketiga, bukan senang untuk mencapai kejayaan. Tidak ada rahsia bagi kejayaan saya kecuali rajin berusaha, berdaya tahan, boleh menerima perubahan serta tidak berputus asa tibanya waktu-waktu genting”. Jelasnya menutup perbualan.

Menurut akhbar The Star, Setelah 51 tahun menerajui kumpulan Public Bank Bhd, beliau akan bersara sebagai pengerusi bukan eksekutif pada 1 Januari 2019.

Untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang beliau kepada Public Bank, beliau akan dianugerahkan gelaran pengerusi emeritus sejurus beliau bersara sebagai pengerusi pada tarikh tersebut.

Berkuat kuasa 1 Januari 2019 juga,  Teh akan kekal sebagai penasihat serta memberi panduan untuk mmemastikan pertumbuhan berterusan Public Bank dan kumpulan Public Bank.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker