FesyenGaya Hidup

Ke Mana Hilang Citarasa Fesyen Lelaki Malaysia?

Suatu ketika dahulu, golongan lelaki begitu menitikberatkan penampilan mereka dan berusaha untuk berpakaian yang kelihatan baik tidak kira pada acara formal atau kasual.

Kini, sesetengah lelaki masih lagi mengambil berat tentang penampilan mereka, tetapi lebih ramai yang cuai atau bersikap acuh tak acuh terhadap fesyen atau cara berpakaian.

Malangnya, telah menjadi kebiasaan dan norma untuk lelaki memakai pakaian yang selekeh ketika menghadiri acara rasmi, memakai baju T-shirt dan jersey ke majlis perkahwinan, dan memakai sarung pelikat ke pasar raya.

Dengan lebih banyak syarikat yang membolehkan kod berpakaian ringkas untuk pekerja, golongan lelaki sepertinya telah kehilangan seni dalam berpakaian.

KURANG PENGETAHUAN

Sebagai salah seorang perintis pakaian lelaki di Malaysia, Bon Zainal Harun berkata, kehilangan fesyen lelaki hari ini adalah akibat kurangnya pengetahuan.

“Kekurangan pemahaman dan pengetahuan tentang pakaian dan apa yang sesuai untuk dipakai telah menjadikan lelaki sebagai mangsa fesyen.

Sesetengah lelaki mungkin menganggap mereka bergaya tetapi apa yang mereka pakai sebenarnya tidak sesuai untuk majlis itu atau membuat mereka kelihatan ganjil, “kata Bon yang telah menubuhkan jenama Bon Zainal selama hampir 30 tahun.

Tidak salah untuk menjadi ‘trendy’ tetapi idealnya fesyen lelaki harus kelihatan maskulin dan lelaki mesti menyesuaikan pakaian mereka dengan acara yang dihadiri serta memilih aksesori dengan sewajarnya.

Sebagai contoh, bagi majlis perkahwinan, lelaki perlu memakai baju batik atau kemeja dengan seluar ‘slack’dan kasut untuk menunjukkan penghormatan kepada tuan rumah dan untuk menyempurnakan gaya pasangan mereka.

BUKAN BUDAYA KITA

Rashdan Rosly, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Konsvltan, sebuah syarikat penghubung fesyen yang mengendalikan jenama pakaian lelaki tempatan, berpendapat bahawa kekurangan citarasa fesyen lelaki adalah kerana ia tidak dibudayakan dalam masyarakat kita.

“Pada pendapat saya, cara berpakaian yang betul memerlukan pengetahuan, sementara citarasa atau gaya adalah pilihan peribadi. Malangnya, kesopanan atau asas-asas cara berpakaian mengikut majlis tidak diajar.

Biasanya, kod pakaian tidak wujud atau tidak diperlukan, jadi orang tidak peduli. Kita juga tidak mempunyai budaya di mana fesyen adalah gaya hidup seperti di Itali atau Perancis.”kata Rashdan yang merupakan pengasas jenama fesyen lelaki, Sultan KL.

Bersifat terlalu selesa juga membuatkan lelaki buta fesyen, sementara mereka yang berfesyen biasanya hanya mengikut trend secara membuta kerana mereka kurang memahami budaya yang datang dengan fesyen.

JAGA PENAMPILAN ANDA

Tidak kira apa pandangan anda tentang fesyen, anda harus ingat bahawa berpakaian dengan baik dan kelihatan rapi adalah satu bentuk kesopanan.

Berpakaian untuk majlis itu tidak bermakna anda perlu memakai pakaian baru atau barang berjenama. Pakaian yang bersih, rambut yang rapi dan kasut yang berkilau sudah cukup baik untuk meningkatkan keyakinan anda dan membuat pasangan anda bangga. – NST

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker